GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi untuk menghadapi musim kemarau bermula Februari sehingga April 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata kapasiti efektif Empangan Air Itam hari ini berada pada paras 68.9 peratus manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang pula pada tahap kritikal iaitu 39.2 peratus.
“Kita perlu mencapai kapasiti efektif minimum 90 peratus untuk Empangan Air Itam dan kapasiti efektif minimum 60 peratus untuk Empangan Teluk Bahang menjelang Disember 2022.
“Jika tidak, kita tidak dapat mengekalkan bekalan air untuk menghadapi musim kemarau yang seterusnya bermula awal tahun depan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi sebentar tadi.
Jaseni berkata, antara langkah yang dijalankan oleh PBAPP adalah termasuk melakukan pembenihan awan sehingga Disember tahun ini.
“Walaupun kelulusan telah diperoleh daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya Operasi Pembenihan Awan dilaksanakan sebanyak 15 kali dari April hingga Ogos 2022, namun sehingga sekarang masih lagi tertangguh kerana masalah yang dihadapi oleh kontraktor yang dilantik.
“Oleh itu, PBAPP mengesyorkan supaya Operasi Pembenihan Awan dilanjutkan sehingga Disember 2022 supaya kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang mencapai kapasiti minimum masing-masing.
“Penambahan kapasiti efektif kedua-dua empangan di kawasan pulau amat kritikal bagi menjamin kelangsungan sumber air mentah negeri Pulau Pinang pada tahun 2023,” tegasnya.
Selain itu kata Jaseni, PBAPP turut mengambil langkah proaktif dengan mengalihkan lebihan air mentah dari Sungai Pinang dan kawasan tadahan air di Balik Pulau ke Empangan Teluk Bahang sejak 12 September lalu.
“PBAPP juga mengalihkan lebihan air mentah dari kawasan tadahan air di Batu Ferringhi ke Empangan Teluk Bahang sejak 27 September lalu.
“Dengan semua tindakan ini kami berharap dapat mencapai kapasiti empangan minimum menjelang Disember tahun ini.
“Pada masa sama, kita menasihati masyarakat di negeri ini untuk menggunakan air secara lebih berhemah,” katanya lagi.
Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF