GEORGE TOWN – Beberapa kawasan di bahagian Pulau dan Seberang Perai akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari mulai 10 Januari 2024 (6.00 pagi) hingga 14 Januari 2024.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata gangguan bekalan air berjadual itu adalah ekoran Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merancang untuk melakukan dua kerja pembaikan besar dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di samping 22 lokasi di seluruh negeri ini.
“Kerja-kerja penggantian dua injap 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dekat LRA Sungai Dua yang bocor akan mengakibatkan kira-kira 590,000 pengguna air di bahagian Pulau dan Seberang Perai, termasuk pengguna bukan domestik dalam semua sektor perindustrian utama negeri.
“Kita (PBAPP) terpaksa merancang gangguan bekalan air berperingkat sekarang supaya kita dapat memastikan tidak berlaku gangguan bekalan air berganda pada masa hadapan,” jelasnya dalam sidang media di Komtar pada 8 Disember 2023.
Justeru, Zairil menasihatkan semua pengguna supaya menggunakan air secara berhemah serta memastikan tangki simpanan air di premis masing-masing dalam kapasiti maksimum bagi tempoh rancangan gangguan bekalan air berjadual tersebut.
Menjawab soalan pemberita, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata bahawa pengguna yang mendapat bekalan air terawat selain dari LRA Sungai Dua tidak akan mengalami gangguan bekalan.
Di samping itu, beliau berkata PBAPP juga akan memastikan gangguan bekalan air terawat berjadual tidak akan menjejaskan pengoperasi sektor penting seperti kesihatan, perhotelan dan sebagainya.
Bercakap dalam sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan memberitahu bahawa pihaknya terpaksa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan tersebut kerana mengambil kira kehilangan air ketara (NRW) setiap hari yang ketika ini direkodkan sebanyak 28.6 peratus sebulan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengalu-alukan partisipasi agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu PBAPP melaksanakan kerja-kerja sukarelawan berkaitan dalam tempoh rancangan gangguan bekalan air berperingkat nanti.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR