GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merancang untuk mengubah fungsi Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) daripada “empangan rizab kemarau strategik” kepada empangan harian.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata, ini bermakna air yang disimpan di EMD akan tersedia untuk pengeluaran harian atau semasa kecemasan apabila paras air Sungai Muda rendah ketika musim kemarau atau kualiti air terjejas dan tidak boleh dirawat.
Beliau berkata, dengan perubahan tersebut, EMD akan berfungsi sama seperti Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau.
“Objektif utamanya adalah untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan air tidak berjadual di seluruh negeri apabila kekeruhan tinggi air mentah dari Sungai Muda yang mengancam operasi air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
“Objektif kedua pula adalah untuk merawat air dari EMD setiap hari bagi menyokong pertambahan permintaan air di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Jaseni berkata, keadaan air dari Sungai Muda yang sangat keruh pada 22 Julai lalu akibat banjir kilat yang berlaku di Baling, Kedah telah memaksa PBAPP menghentikan tugas LRA Sungai Dua dan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di seluruh negeri selama enam hari.
“Bagi meminimumkan risiko berulang, PBAPP bercadang untuk menghentikan sementara pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda apabila kejadian tersebut berulang pada masa hadapan.
“Walau bagaimanapun, LRA Sungai Dua mesti mempunyai akses berterusan kepada kira-kira 1,000 JLH air mentah dari Empangan Mengkuang bagi mengelakkan ganggunag bekalan air di seluruh negeri,” ulasnya.
Oleh itu katanya, PBAPP akan membangunkan kapasiti untuk melepaskan 1,000 juta liter sehari (JLH) dari Empangan Mengkuang pada masa hadapan sekiranya kualiti air mentah Sungai Muda terjejas.
Katanya, ketika ini kapasiti pelepasan maksimum PBAPP ialah 300 JLH dan dengan pengoperasian fasa 2B Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) oleh Kerajaan Persekutuan, kapasiti maksimum akan ditingkatkan kepada 600 JLH.
“Dengan pengoperasian satu lagi set saluran paip 400 JLH yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kapasiti pelepasan maksimum akan mencecah 1,000 JLH.
“Pemasangan saluran paip baharu ini harus disiapkan dengan pantas bagi menangani risiko air mentah Pulau Pinang yang berkaitan dengan Sungai Muda.
“Fasa 2C MDEP melibatkan pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi juga harus segera dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk pengoperasian agar EMD dapat diisi semula dengan cepat ketika musim kemarau untuk berfungsi secara optimum sebagai empangan harian,” katanya.
Selain itu, kata Jaseni, perancangan juga sedang dijalankan untuk membina LRA Empangan Mengkuang baharu di lokasi berdekatan EMD bagi menyelesaikan krisis air di Seberang Perai Selatan (SPS) yang dijadualkan beroperasi menjelang Disember 2025.
“Kawasan liputan LRA Empangan Mengkuang ialah SPU dan perbandaran Bukit Mertajam yang berdekatan dan apabila ia beroperasi, PBAPP juga dapat dan menyalurkan air terawat tambahan dari LRA Sungai Dua ke SPS.
“Selain itu, PBAPP juga merancang membina satu lagi LRA baharu 114 JLH berhampiran Sungai Kerian bagi menangani keperluan air masyarakat SPS yang dicadangkan dijadualkan untuk pengoperasian pada Disember 2026,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS