PBAPP sentiasa pantau kualiti air – Exco

Admin
cbb3bf81 90a5 4ac6 8abd c8c59b93bba1

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sentiasa melaksanakan pemantauan bagi memastikan pencemaran di Sungai Kulim tidak akan menjejaskan kualiti air di Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata pemantauan dilaksanakan secara bersepadu melalui beberapa agensi dan Jabatan Kerajaan seperti Bahagian Kawal Selia Air (BKSA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PBAPP.

“Pemeriksaan sanitari dan pengambilan sampel air secara berkala dilakukan bagi memastikan kualiti air di Sungai Kulim berada dalam selamat untuk diminum dan menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh KKM.

“Sekiranya didapati kualiti air berada pada tahap yang tidak selamat untuk diminum, maka LRA akan dihentikan dan siasatan akan dilaksanakan untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

“(Dan) bagi memastikan kualiti sungai sentiasa berada pada tahap optimum, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut melaksanakan Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) khusus bagi pemantauan kualiti air sungai,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Mohd. Sobri Saleh dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang KE-15 dekat sini pagi ini.

Menjawab soalan daripada ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen, Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga berkata bahawa Pulau Pinang telah merekodkan penggunaan purata air per kapita bagi tujuan domestik berjumlah 284 liter sehari pada tahun 2023.

Menurutnya, sebagai bandingan penggunaan air per kapita pengguna di negeri ini bagi kategori domestik adalah lebih tinggi berbanding dengan purata kebangsaan.

“Purata air per kapita kebangsaan pada tahun 2022 ialah 237 liter sehari manakala sasaran kebangsaan untuk air per kapita bagi tahun 2025 ialah 180 liter sehari.

“(Dan) untuk jumlah penggunaan bukan domestik pula, penggunaan air termasuk industri, premis perniagaan dan sebagainya tidak diukur menggunakan air per kapit.

“Namun begitu, jjumlah yang direkodkan pada tahun 2023 adalah sebanyak 136,395,657 meter padu setahun berbanding penggunaan domestik sebanyak 183,725,917 meter padu,” jelasnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING