PBAPP tangguh penggantian injap susulan gangguan bekalan air di bahagian pulau – Ketua Menteri

Admin

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa menangguhkan kerja-kerja penggantian injap 1200 milimeter (mm) susulan gangguan bekalan air yang turut berlaku di bahagian pulau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang 2022 dekat Butterworth Arena di sini sebentar tadi.

“Jadual pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap 1200 mm dan 1350mm di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua sepatutnya bermula pada jam 10 malam tadi.

“Namun begitu, pada jam 6 pagi tadi, PBAPP buat keputusan untuk menangguhkan operasi (penggantian injap) disebabkan masalah kekeruhan air mentah dan masalah kerosakan pada injap yang menyalurkan air dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau negeri ini.

“Sepatutnya, kerja-kerja penggantian ini tidak menyebabkan gangguan bekalan air di bahagian pulau, tetapi disebabkan salah satu bahagian pada injap (1200mm) mengalami kerosakan semasa operasi dilaksanakan, maka ganguan bekalan air telah berlaku,” katanya.

Walau bagaimanapun kata Kon Yeow, kerja-kerja penggantian injap 1350mm sudah siap dan bekalan air di bahagian Seberang Perai akan mula disalurkan tidak lama lagi.

“Manakala pemasangan satu lagi injap (1200mm) akan dijadualkan semula,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Terdahulu, PBAPP dalam kenyataannya memberitahu bahawa pihaknya memutuskan untuk menangguhkan kerja-kerja penggantian injap di LRA Sungai Dua ekoran masalah teknikal dalam pengendalian injap yang menyebabkan gangguan air di bahagian selatan Pulau Pinang.

Selain itu, PBAPP turut memaklumkan bahawa penangguhan kerja-kerja penggantian tersebut juga disebabkan peningkatan tahap kekeruhan air mentah di muka sauk Lahar Tiang susulan kejadian banjir yang berlaku di Baling, Kedah.

PBAPP berkata, kawasan-kawasan yang terjejas dijangka menerima semula bekalan air secara berperingkat mulai jam 12 tengah hari tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow mengulangi pendirian bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan rundingan bagi merealisasikan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Beliau berkata, ia adalah berikutan hasil kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diterima pada September lalu mendapati bahawa sumber air mentah dari sungai negeri Perak adalah mencukupi untuk dibekalkan kepada Pulau Pinang dan utara Perak.

“Oleh itu, sebarang perbincangan serta rundingan haruslah berdasarkan laporan ini sama ada berkaitan pilihan atau kos, dan barulah keputusan boleh dibuat,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, Kerajaan Negeri Perak dilaporkan tetap dengan pendirian tidak membekalkan air kepada Pulau Pinang meskipun pembentukan kerajaan negeri sekarang adalah campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak dilaporkan berkata bahawa kapasiti air sungai Perak hanya cukup untuk kegunaan domestik termasuk sektor perindustrian di negeri berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video :. ALISSALA THIAN