PBAPP terus pantau tahap kekeruhan air

Admin
whatsapp image 2024 10 15 at 13.53.13

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan terus memantau keadaan dan tahap kekeruhan air di muka sauk Lahar Tiang susulan banjir di beberapa kawasan di hulu Sungai Muda kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tahap kekeruhan air berada pada bacaan antara 400 NTU (unit kekeruhan nefelometrik) dan terkawal serta tidak menjejaskan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua buat masa ini (kira-kira pada jam 1 petang tadi).

“PBAPP akan terus memantau keadaan (di muka sauk Lahar Tiang) yang mana kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu kejadian banjir di Baling akan memberi impak sama ada banjir (di Pulau Pinang) atau menyebabkan terjejasnya pengoperasian LRA Sungai Dua,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, setelah insiden banjir di Baling pada tahun 2022 yang menyebabkan tahap kekeruhan air mencecah 3,000 NTU sehingga mengganggu pengoperasian LRA Sungai Dua, pihak PBAPP kini telah mengambil langkah menambah baik perkhidmatannya.

“Pihak PBAPP telah menambah baik dan pertingkatkan sistem bagi menampung tahap kekeruhan air yang tinggi, sekiranya banjir berlaku, supaya ia tidak menjejaskan pengoperasian LRA Sungai Dua,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan berhubung tahap kesiapsiagaan Kerajaan Negeri menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hujung bulan ini, Kon Yeow memaklumkan bahawa semua agensi berwajib kini berada dalam keadaan siap siaga.

“Lazimnya, Unit Pengurusan Bencana akan memantau dan meneliti segala ramalan mahupun amaran yang dikeluarkan oleh METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia).

Buat masa ini, (Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi berwajib) memberi tumpuan terhadap kesiapsiagaan seperti mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) banjir dan penyediaan logistik untuk menyampaikan bantuan.

“Ini termasuk meletakkan semua agensi berkaitan dalam keadaan siap siaga (untuk digerakkan pada bila-bila masa) bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan peralihan Monsun Timur Laut dijangka berlaku lebih awal iaitu minggu keempat bulan ini susulan perubahan cuaca.

Menjawab soalan pemberita selepas itu mengenai langkah mitigasi, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sentiasa proaktif melaksanakan pelbagai projek tebatan banjir, baik pada skala kecil mahupun sederhana.

“Di bawah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, Kerajaan Negeri ada meluluskan peruntukan melalui caruman perparitan untuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir berskala kecil di seluruh negeri sepanjang tahun.

(Projek-projek ini) dilaksanakan secara berterusan supaya impak banjir dapat dikurangkan, malah terdapat beberapa projek berskala besar di bawah kementerian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dalam pelaksanaan kini.

“Saya percaya bahawa usaha melaksanakan projek-projek tebatan banjir di negeri ini tidak pernah terhenti dan berterusan sepanjang tahun sama ada pada peringkat Persekutuan, negeri mahupun pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas bagi melaksanakan projek-projek tebatan banjir dalam Belanjawan Pulau Pinang tahun hadapan, Kon Yeow berkata ia akan dibentangkan nanti berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Negeri pada 22 November 2024 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI