AIR ITAM – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) melancarkan aplikasi pintar panduan mendaki kawasan peranginan tanah tinggi terkenal negara di sini dengan menyediakan 10 opsyen denai paling popular iaitu enam laluan dari Air Itam, Taman Botani Pulau Pinang (tiga) dan Teluk Bahang (satu).
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata usaha agensi negeri itu adalah tepat pada masanya iaitu bersempena musim cuti sekolah dan perayaan Hari Natal yang bermula pada hari ini.
“Bukit Bendera ialah destinasi popular untuk peminat alam semula jadi dan pengembaraan yang mampu mencabar diri secara bebas.
“Terletak hanya beberapa kilometer (km) dari George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO, ia (Bukit Bendera) menawarkan pemandangan yang menakjubkan dan laluan mendaki yang pelbagai, menjadikannya destinasi pilihan untuk pendaki amatur dan profesional serta pelancong antarabangsa,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong dalam majlis berkaitan di ruang legar Stesen Atas Bukit Bendera di sini pada 20 Disember 2024.
Berucap sebelum itu, Pengarah Urusan PBBPP, Dato’ Cheok Lay Leng berkata Penang Hill Hiking Trails Mobile App tersebut boleh dimuat turun dari Google Play Store, iOS App Store mahupun Huawei AppGallery telefon pintar masing-masing.
“Sebagai tambahan, pada ciri laluan mendaki, aplikasi (Penang Hill Hiking Trails Mobile App) ini juga menyediakan kemas kini cuaca secara langsung untuk Bukit Bendera (yang mana) membolehkan pengguna menyemak keadaan cuaca sebelum memulakan pendakian mereka.
“Sekalian pendaki boleh lah merancang dengan lebih awal dan bersedia sepenuhnya untuk perjalanan mereka,” jelasnya lagi.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Penang Hill Hiking Trails Mobile App juga turut menyediakan informasi berkaitan lokasi Automated External Defibrillator (AED) iaitu mesin yang digunakan semasa operasi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), di sekitar kawasan pendakian sebagai langkah tambahan jika berlaku saat cemas.
Hadir sama, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang, Dr. Annuar Mohamed.
Dalam sidang media selepas itu, Hon Wai berkata pihaknya percaya dengan tawaran Penang Hill Hiking Trails Mobile App ini akan menggandakan bilangan pendaki sempena musim cuti sekolah dan sambutan Hari Natal pada hujung tahun ini.
“Ada banyak laluan atau denai pendakian menuju ke puncak Bukit Bendera ataupun destinasi tertentu di sekitar kawasan peranginan tanah tinggi terkenal negara ini, yang mana saban hari menerima kunjungan lebih 1,000 orang di luar musim cuti sekolah.
“Ada sesetengah naik ke puncak Bukit Bendera menggunakan kereta kabel dan memilih turun ke kaki bukit melalui jalan-jalan denai pendakian sedia ada; dan ada yang naik dan turut dengan melalui mana-mana laluan pendakian yang ada.
“Justeru, pada hujung minggu (bersempena musim cuti sekolah kini), jumlah pendaki di sini dijangka boleh hampir 5,000 orang,” jelasnya sambil memberitahu bahawa purata pengunjung yang menggunakan kereta kabel Bukit Bendera tiap-tiap hari sempena musim cuti sekolah sebelum ini adalah melebihi 6,000 pengunjung.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR