PBE MPPP operasi 24 jam setiap hari

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : CHAN LILIAN

 

GEORGE TOWN – Pusat Bayaran Elektronik (PBE) pertama oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang ( MPPP ) di Pusat Bayaran Setempat, Jalan Padang Kota Lama di sini, kini dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Yang di-Pertua MPPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, PBE yang beroperasi 24 jam setiap sehari merupakan tambahan kemudahan kepada orang ramai untuk menjelaskan bayaran cukai taksiran dan kompaun parkir.

“Dengan PBE, orang ramai tidak lagi terikat untuk menjelaskan bayaran di kaunter sahaja , sebaliknya , boleh datang selepas waktu pejabat.

“ Ini akan memudahkan mereka membuat bayaran tanpa had masa,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pusat Bayaran Elektronik di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian berkaitan, Exco Kerajaan Tempatan , Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Turut serta , Setiausaha Perbandaran MPPP, Ar. Ang Aing Thye, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPPP.

Bagi bil cukai taksiran, para pengguna boleh membuat bayaran secara tunai ataupun cek, manakala kompaun parkir, tunai sahaja.

Tambah Patahiyah, MPPP akan mengkaji keperluan penambahan mesin dari semasa ke semasa sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.

“Setakat ini, kita (MPPP) hanya memulakan pemasangan sebuah mesin sahaja.

“Namun, penambahan mesin pada masa hadapan akan dikaji sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan ianya bergantung kepada kecekapan mesin jua,” kata beliau.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Perbendaharaan Jabatan Perbendaharaan MPPP, Suhaida Kamalul Ariffin, lebih 200 , 000 kompaun parkir dikeluarkan pada tahun lalu (2014), namun hanya sekitar 35 peratus pengguna sahaja menjelaskan bayaran berkenaan.