PBI tingkat mutu hidup melalui kebersihan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

SUNGAI ACHEH – Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang lebih bersih dan hijau, Program Bersih dan Indah (PBI) yang dianjurkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman bersama kepimpinan kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Acheh, Mohd. Kamil Abu Bakar, PBI merupakan salah satu cabang program Cleaner Greener Penang (CGP) yang dilaksanakan secara bersama dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan mutu dan kualiti hidup kita melalui kebersihan dan pengindahan alam sekitar.

“InsyaAllah bagi kawasan Sungai Acheh ini khususnya dan amnya di kawasan Nibong Tebal ini, kita akan cuba sedaya upaya untuk mengadakan PBI secara menyeluruh dan berfasa dalam tempoh lima tahun,” ujar Mohd. Kamil di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap dengan program seumpama ini, bukan sahaja mampu memanfaatkan alam sekitar, malah, penduduk di kawasan sekitar.

Sejumlah 50 batang pokok bakau telah ditanam di kawasan sekitar Kampung Sungai Chanaam dekat sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Maktar Shapee.

MOHD. Kamil Abu Bakar (kanan sekali) bersama Mansor Othman (bertopi) dan Maktar Shapee (duduk, dua dari kanan) menanam pokok bakau bersempena penganjuran PBI di  Kampung Sungai Chanaam di sini baru-baru ini.
MOHD. Kamil Abu Bakar (kanan sekali) bersama Mansor Othman (bertopi) dan Maktar Shapee (duduk, dua dari kanan) menanam pokok bakau bersempena penganjuran PBI di Kampung Sungai Chanaam di sini baru-baru ini.