PBIM 2013 pecah rekod penyertaan larian jambatan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN LEPAS – Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2013 (PBIM) baru-baru ini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melakar rekod terbaru kategori Larian Jambatan Terbesar di Malaysia hasil penyertaan lebih 47,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Catatan rekod tersebut memecah rekod sedia ada yang turut dipegang PBIM dua tahun sebelum ini bagi kategori sama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir pada majlis perasmian PBIM 2013 berkata, penganjuran program berkenaan merupakan acara sukan paling terkenal di Malaysia dan juga termaktub di dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Larian Jambatan yang Terbesar di Malaysia’.

“Hari ini, dengan bangganya anda (peserta-peserta larian) adalah sebahagian yang memecah rekod sedia ada dengan lebih 47,000 penyertaan berbanding tahun lalu (2012), (34,500).

“Saya percaya semangat yang ada adalah satu kepuasan kepada para peserta. Seperti pepatah oleh John Bingham yang mengatakan, ‘Keajaiban bukanlah terletak apabila selesai tetapi keajaibannya adalah apabila kita berani untuk memulakan sesuatu’,” katanya di sini baru-baru ini.

Acara tahunan yang memperoleh liputan meluas serata dunia tersebut menerima hampir 20,000 peserta dari luar Pulau Pinang dan 3,000 dari luar negara antaranya Kenya, Zimbabwe, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, bagi Philip Chirchir Lagat, 56, dari Kenya yang mengungguli kategori Marathon Lelaki Veteran dengan catatan masa 2:24:40, beliau menyatakan bahawa pembabitannya dalam acara larian marathon adalah hampir 30 tahun.

“Tahun lepas juga saya telah menang peringkat yang sama. Catatan masa terbaik ialah ketika menyertai Marathon Australia,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Bagi pemenang utama cabutan bertuah yang menawarkan sebuah kereta Honda City, Heah Sock San, 21, beliau sangat terkejut dengan ‘kemenangan’ tidak disangkanya.

“Saya telah renyuk kupon cabutan bertuah sebab menyangka akan pulang dengan tangan kosong, sebaliknya nombor saya diumumkan memenangi hadiah utama cabutan bertuah,” jelas pelajar Perakaunan yang berasal dari Nibong Tebal tersebut di sini.