PANTAI JEREJAK – Jersi larian, pingat, baju-t penamat dan cenderahati bagi acara larian, Penang Bridge International Marathon (PBIM) dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin.
Katanya, setelah dua tahun tidak dianjurkan pihak Kerajaan Negeri berbesar hati untuk menerima kebanjiran lebih 25,000 pelari yang akan menyertai acara tersebut pada 11 Disember ini.
“Tahun demi tahun, kita akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki mutu penganjuran PBIM.
“Setelah dua tahun tidak dianjurkan, penganjur masih lagi meletakkan kesihatan dan keselamatan sebagai satu keutamaan penting kepada para peserta.
“Kami ingin memastikan bahawa kesemua peserta yang mengambil bahagian akan lebih seronok dan berjaya hingga ke garisan penamat tanpa sebarang masalah,” ujar beliau pada majlis pelancaran yang berlangsung di Queensbay Mall itu.
Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Datuk Mohd. Suhaily Mohd. Zain; Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Soffian Santong; Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan, Kamarul Rizal bin Jenal dan wakil-wakil penaja.
Jenama pakaian sukan terkenal Brooks terus mendapat kepercayaan jawatankuasa PBIM sebagai penaja utama.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD