PBS Berapit sedia gerakkan dua jentera, tempatkan 20 tangki air di lokasi awam

img 20240109 wa0075

BERAPIT – Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Berapit Bukit Mertajam sedia menggerakkan dua jentera tangki air berkapasiti 13,000 liter dan 950 liter bagi membantu pengguna di kawasan berkenaan yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari mulai esok (10 Januari 2024).

Ketua bagi program pengedaran air, Teoh Ee Kun berkata, selain dua jentera terbabit, pihaknya turut menempatkan 20 unit tangki statik berkapasiti 2,000 liter di lokasi-lokasi awam termasuk sekolah dan pasar awam.

img 20240109 wa0076
Teoh Ee Kun.

“Kedua-dua lori tangki ini akan bergerak ke 14 lokasi meliputi taman-taman perumahan bagi mengagihkan air kepada penduduk di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Berapit.

“Pada hari pertama (10 Januari), kita akan memulakan operasi agihan air mulai jam 2 petang manakala hari kedua kita bermula awal pagi kerana mengambil kira bekalan air simpanan pengguna sudah mula berkurangan.

“Pada dua hari terakhir iaitu 13 dan 14 Januari pula, PBS Berapit akan membantu mengedarkan air ke bahagian pulau iaitu daerah Timur Laut khususnya di Pulau Jerejak dan Batu Uban,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat Pejabat PBS Berapit Bukit Mertajam di sini sebentar tadi.

img 20240109 wa0074

img 20240109 wa0077

Tambah Ee Kun, sebanyak 20 tangki air statik yang dibekalkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee ketika ini telah ditempatkan di lokasi-lokasi awam termasuk sekolah, taman perumahan dan pasar awam.

“Antara lokasi tangki statik kita adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mertajam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mertajam, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam, Sekolah Persendirian Jit Sin, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kim Sen dan SMK Jalan Damai.

“Selain itu, tangki juga ditempatkan di Pasar Awam Kampung Baru dan taman-taman perumahan seperti di Taman Permata, Taman Tenang, Taman Kuari serta Kampung Anston,” katanya sambil menambah bahawa sebuah lagi jentera disediakan bagi tujuan kecemasan seperti kebakaran.

Mengulas lanjut, Eu Kun berkata PBS Berapit ketika ini mempunyai kira-kira 15 anggota yang akan membantu melancarkan kerja-kerja pengedaran bekalan air di kawasan Berapit, di samping bantuan sukarelawan daripada ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

“Oleh itu, penduduk tidak perlu terlalu risau kerana PBS Berapit akan sentiasa memantau bekalan air di tangki-tangki yang kita sudah gerakkan ini, di samping dua lagi jentera yang akan sentiasa bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

“Bagi melancarkan lagi pengagihan bekalan air ini, setiap lokasi tangki akan ditugaskan seorang sukarelawan dari MPKK untuk memantau bekalan air yang mana sekiranya habis mereka akan menelefon kita untuk mengisinya semula,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS