PBS Bukit Bendera gerakkan misi bantuan bencana banjir ke Johor

Admin

AIR ITAM – Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera bakal berlepas ke Segamat, Johor dalam misi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri berkenaan pada 5 Mac 2023 ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, PBS Bukit Bendera merupakan pasukan kesukarelawanan yang pertama menggalas misi berkenaan.

“Secara umumnya, bencana banjir yang berlaku di Johor merupakan dalam skala yang besar, pihak PBS Bukit Bendera tidak ketinggalan dalam menyediakan barang keperluan untuk mangsa-mangsa.

“Di samping itu, pelajar-pelajar dari Kolej SENTRAL turut meringankan beban (PBS Bukit Bendera) dalam mengumpul dana serta barang keperluan seperti air minuman, stok makanan, kelengkapan mandi dan tidur serta sumbangan wang tunai sebanyak RM1,500 dari Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam,” ujarnya semasa sidang media Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir Johor 2023 yang diadakan sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Air Putih, Lim Guan Eng, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Connie Tan Hooi Peng serta Timbalan Pengerusi Ketua Operasi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera, Teoh Chuang Piau.

 

TEOH Chuang Piau menerima mock cheque bernilai RM1,500 dari Joseph Ng Soon Siang dan Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Guan Eng semasa sesi yang sama turut memuji inisiatif yang telah dijalankan oleh PBS Bukit Bendera.

“Saya berharap inisiatif ini terus dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan yang lain dalam membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.

“Justeru itu, sokongan dari rakyat turut memainkan peranan yang penting dan sumbangan barangan keperluan masih dibuka sehingga esok,” katanya semasa menyampaikan ‘mock cheque’ bernilai RM1,500 manakala dari kepada PBS Bukit Bendera.

Aset bantuan bencana lain yang turut digerakkan adalah sebuah unit lori untuk memuatkan barangan keperluan, kenderaan pacuan empat roda (dua), serta sebuah ambulans dengan kekuatan seramai 15 anggota PBS Bukit Bendera.

Difahamkan, kira-kira lebih 30,000 penduduk terjejas ekoran hujan lebat berterusan dan seramai lebih 9,000 keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SIEW CHIA EN