AIR PUTIH – Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela (PBS) Bukit Bendera baru-baru ini menerima dua unit jentera bomba berkapasiti tinggi bernilai RM160,000 hasil sumbangan beberapa pihak termasuk Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan.
Selain itu, jentera berkapasiti 14,800 liter tersebut turut memperoleh tajaan Kumpulan Ideal Property dan juga menerusi kutipan amal.
Guan Eng ketika hadir pada Majlis Perasmian Jentera Bomba Bertangki Bukit Bendera berkata, sumbangan tersebut secara tidak langsung membolehkan PBS Bukit Bendera mempertingkatkan keupayaan petugas, sekaligus memudahkan tugasan pada saat-saat kecemasan.
“Pengunaan jentera bomba berkapasiti tinggi ini selaras dengan hasrat pasukan untuk terus meningkatkan prestasi bagi membantu penduduk di kawasan ini dan sekitarnya.
“Saya harap mereka (PBS Bukit Bendera) dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin,” ucapnya di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.
Turut serta, ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai serta wakil-wakil penaja dan ahli-ahli PBS Bukit Bendera.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng memberitahu, dengan sumbangan tersebut, PBS Bukit Bendera kini dilengkapi dengan empat unit jentera bomba (tiga unit bertangki serta satu unit tidak bertangki), dua ambulans dan bot kecemasan (2) bagi memudahkan tugastugas menyelamat.
Pusat Operasi PBS Bukit Bendera beroperasi 24 jam dengan kekuatan 40 ahli aktif. Orang ramai di kawasan berdekatan boleh menghubungi talian 012 – 403 2994 sekiranya berlaku sebarang kecemasan