PBT diseru tegas laksanakan pelan tindakan kebersihan bagi mendidik pemilik premis awam tingkatkan gred kebersihan

SR. Rozali Mohamud (berkopiah) bersama Jagdeep Singh Deo merakam gambar kenangan bersama Ahli-ahli Majlis MPSP dan para pegawai yang menyertai kursus induksi baru-baru ini.
  1. TELUK BAHANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan bandar & Desa Jagdeep Singh Deo menyeru kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini serius dalam melaksanakan Pelan Tindakan Kebersihan Pasar dan Kompleks Makanan Awam.

Menurut Jagdeep, pelan tindakan tersebut merupakan satu bentuk pendidikan kepada para peniaga di pasar dan kompleks makanan awam agar meningkatkan kualiti terutamanya dari aspek kebersihan ke tahap gred A dan B.

Kalau boleh saya nak kedua-dua bahagian pulau dan seberang mempunyai satu misi menjadikan kesemua 48 kompleks Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 96 (Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) mencapai tahap kebersihan A ataupun B menjelang Februari 2019.

Tahap kebersihan ini adalah tahap gred dari PBT dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)… ini sangat penting.

Pulau Pinang melihat perkara ini sesuatu yang serius ke depan dan seperti sidang media sebelum ini saya katakan kita perlu tegas menjadikan semua premis makanan awam dalam keadaan bersih,” ujar beliau dalam satu sidang media pada Kursus Induksi Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat sebuah hotel di Batu Feringghi baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari;    Yang diPertua bagi MPSP Dato’ Sr. Rozali Mohamud, Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Pada sidang media itu, Rozali menyatakan MPSP sudah memulakan pelan tindakan tersebut sejak Julai tahun ini berikutan tidak berpuas hati dengan gred yang dicapai oleh pemilik pasar awam dan kompleks makanan di Seberang Perai.

Pada tahun 2010, semua gred A, B, C dan D ada di Seberang Perai… pada 2017 A dan B sebanyak 38.29 peratus serta C (61.6 peratus).

Kita (MPSP) tidak berpuas hati dengan statistik ini dan telah berbincang dengan Ahli Majlis dan mereka (Ahli Majlis) akan duduk dalam task force ini.

Mulai Julai lalu, melalui educational enforcement yang dilancarkan…Ahli Majlis dan pegawai bertugas akan turun ke tapak di mana kita bagi senarai semak dan tempoh kepada semua peniaga sehingga November dam maklumkan apa yang perlu dibaiki.

Lepas dua minggu kita akan datang balik… sekiranya mereka langsung tidak mengambil tindakan, kita akan bagi kompaun, tetapi jika dia ambil tindakan namun tidak memuaskan, kita akan nasihat sehingga mencapai tahap kebersihan yang dikehendaki.

Bermula dari Disember 2018 sehingga Februari 2019, kita akan ambil tindakan dan dalam masa sama masih dalam proses berikan pendidikan, selepas dari Februari (jika masih kotor) kita akan tutup kedai,” tegas Rozali.

Tambah Rozali kriteria penyediaan makanan bukanlah perkara baru bahkan PBT memberi masa lama kepada para peniaga dalam meningkatkan kualiti kebersihan premis

Difahamkan premis-premis milik swasta juga akan dikuatkuasakan dengan pelan tindakan tersebut selepas ini.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI