PBT perlu kaji kaedah, selesaikan ancaman isu tanah persendirian terbiar – ADUN

Admin
8919e99a 580d 468f 9a12 79219c6a59fb

GEORGE TOWN – Isu pengurusan tanah lapang milik persendirian telah menjadi pelbagai isu kacau ganggu yang merangkumi aduan kebersihan dan keselamatan persekitaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata bahawa pemilik kawasan tanah lapang tidak boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap kesejahteraan orang awam di kawasan sekeliling.

“Antara aduan yang diterima merangkumi pembiakan nyamuk denggi, masalah makhluk perosak serta aduan keselamatan persekitaran seperti pokok reput yang tumbang di atas jalan raya sehingga membahayakan nyawa orang awam termasuk harta benda.

“Walaupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing di bawah perintah Akta Kerajaan Tempatan dan Undang-Undang Kecil Majlis mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis amaran dan denda kepada pemilik tanah, namun langkah sedemikian tidak berkesan.

“Hal ini lebih mencemaskan apabila tibanya musim tengkujuh atau banjir, insiden yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

“Tindakan pemilik tanah persendirian untuk tidak mengambil tindakan dan hanya mengharapkan pihak PBT adalah tidak wajar dan anda perlu ada rasa tanggungjawab terhadap tanah sendiri,” katanya semasa sesi perbahasan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Soon Siang turut berharap PBT mampu mewujudkan satu mekanisme terhadap tuan-tuan tanah yang terlibat.

“Oleh yang demikian, pihak saya mencadangkan supaya PBT mengurus tanah yang terlibat dengan membersihkan dan mengendalikan pokok yang berisiko tinggi ke atas tanah persendirian terbiar.

“(Dan) kos penyelenggaraan tanah swasta yang tinggi bakal dikenakan pada tuan tanah dan juga mungkin akan disenaraihitamkan (blacklist) dalam urusan Kerajaan Negeri.

“Justeru, adalah diharapkan agar pihak Kerajaan Negeri dan PBT mampu mengkaji lebih banyak kaedah pelaksanaan untuk cara penyelesaian yang telah dicadang,” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN