PBT perlu lebih proaktif terajui transformasi ke arah ekonomi digital – Tung Seang

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 1,000 peserta terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara mengambil bahagian dalam Webinar: Menstimulasi Ekonomi Tempatan – Pasca COVID-19 anjuran Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) semalam.

Webinar yang dipengerusikan oleh Presiden MALA, Dato’ Ar. Yew Tung Seang itu menampilkan empat panelis mewakili Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya serta United Cities and Local Governments Asia Pacific (UCLG-ASPAC).

Tung Seang yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, webinar merupakan platform terbaik bagi semua PBT untuk berkongsi pengalaman, konsep serta idea bagi merangsang ekonomi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kini tibalah masa bagi semua PBT berusaha menggembleng tenaga dan sumber untuk membantu bandar masing-masing dalam merangsang dan menstimulasi ekonomi pada peringkat pemulihan ini.

“Kita juga perlu memanfaatkan keupayaan, kekuatan dan sumber daya untuk merangsang ekonomi tempatan khususnya dalam membantu rakyat yang terlibat dalam sektor ekonomi mikro,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Jelasnya lagi, keterlibatan berterusan bersama-sama industri juga penting yang mana PBT perlu membuka peluang kepada sektor-sektor yang terjejas seperti pelancongan, pembinaan, penjajaan dan juga syarikat multinasional (MNC).

“Mereka perlu diberi peluang untuk berkongsi masalah yang dihadapi serta memberi input dan cadangan berkaitan bantuan atau sokongan yang diperlukan daripada PBT.

“PBT juga perlu mengoptimumkan kemudahan dan infrastruktur sedia ada melalui konsep kerjasama awam swasta (PPP) untuk menjana semula ekonomi dan membantu masyarakat tempatan.

“Contohnya, kita boleh memaksimumkan penggunaan pasar awam, kompleks makanan dan lain-lain sumber PBT.

“Selain itu, kita juga perlu mempercepatkan projek infrastruktur sedia ada supaya sektor pembinaan dapat memulakan kerja-kerja dengan secepat mungkin,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Tung Seang percaya bahawa pelaksanaan PKP ekoran penularan pandemik COVID-19 telah mendorong ke arah digitalisasi seperti mengadakan mesyuarat secara maya, e-dagang, transaksi tanpa tunai dan banyak lagi.

“PBT selaku Third Tier Government yang paling dekat dengan masyarakat perlu memainkan peranan lebih aktif serta proaktif sebagai platform bagi menerajui transformasi ke arah ekonomi digital,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zainal Abidin Abu Hasan dalam ucaptamanya menyatakan bahawa PBT perlu memudah cara dan mempercepatkan sebarang proses untuk membantu peniaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi merancakkan lagi ekonomi tempatan.

“Selain itu, PBT juga perlu sedia bersedia untuk menyediakan ekosistem yang mampu mencipta dan meningkatkan peluang pekerjaan, produktiviti dengan disokong inovasi teknologi serta menggalakkan keusahawanan.

“PBT juga boleh memperkenalkan inisiatif digitalisasi seperti platform dalam talian untuk pembelajaran dan memasarkan produk perniagaan melalui e-bazar atau kerjasama dengan pelbagai platform sedia ada,” ulasnya.

Webinar yang berlangsung dekat Komtar menampilkan Yang Dipertua (YDP) Daerah Gua Musang, Datuk Norazman Abd. Ghani sebagai panelis pertama, diikuti YDP Majlis Perbandaran Port Dickson, Mohd. Zamri Mohd. Esa (panelis kedua), Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Miri, Morshidi Frederick (panelis ketiga) serta Setiausaha Agung UCLG-ASPAC, Dr. Bernadia Irawati Tjandradewi (panelis keempat).

Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlements Programme (UN‐Habitat), Datuk Seri Maimunah Mohd. Shariff turut membuat penampilan istimewa dalam webinar berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS