PDC bakal tawar pajakan tanah maksimum 60 tahun melalui pembangunan BKIP 3

dev 7592

PERBADANAN Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bakal menawarkan pajakan tanah perindustrian kepada pelabur bagi tempoh maksimum 60 tahun selepas siapnya pembinaan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3).

Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar berkata bahawa dengan keluasan bersih seluas 407 ekar, BKIP 3 dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2031 yang mana Fasa 1A seluas 60 ekar dijangka siap pada Oktober 2025.

“Pembangunan BKIP 3 berbeza dengan BKIP dan taman perindustrian PDC yang lain dari segi pegangan tanah oleh pelabur.

“Disebabkan perubahan dan kehendak teknologi dalam masa singkat serta cabaran mendapatkan tanah industri baharu di Pulau Pinang, PDC akan melaksanakan konsep pajakan yang mana kami akan mendapatkan pegangan bebas dan seterusnya memajak tanah industri untuk tempoh maksimum 60 tahun kepada pelabur.

“Konsep ketersediaan dari segi infrastruktur atau Infra Ready Concept menjadi satu pendekatan baru oleh pihak PDC ke arah pembinaan projek BKIP 3, malah kami juga berkerjasama rapat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar konsep baharu tersebut direalisasikan.

“Selain itu, BKIP 3 juga akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sokongan lain seperti perumahan pekerja dan hab logistik.

“PDC juga menekankan pembangunan lestari termasuk penggunaan tenaga hijau dan bangunan hijau serta aktiviti kitar semula khususnya dalam pengurusan air,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi.

bel 7409
Aziz Bakar.

Menerusi pembangunan BKIP 3, Aziz berkata PDC menyasarkan untuk mengekalkan pertumbuhan industri yang serupa dengan BKIP, memberi tumpuan kepada elektronik dan elektrik (E&E), peranti perubatan, mesin dan peralatan, kejuruteraan dan automasi. Sektor-sektor ini akan kekal sebagai keutamaan untuk perhatian berterusan.

Melalui pembangunan BKIP 3, Aziz berkata bahawa PDC menyasarkan untuk mengekalkan pembangunan industri yang sama seperti BKIP dengan memberi tumpuan kepada elektrik dan elektronik (E&E), peranti perubatan, mesin dan peralatan, kejuruteraan serta automotif.

“Sektor-sektor ini akan terus diberikan perhatian selain tumpuan turut diberikan terhadap syarikat tempatan yang menyokong ekosistem perindustrian Pulau Pinang,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran bakal dihadapi PDC dalam membangunkan BKIP 3, Aziz berkata selain peningkatan kos pembangunan, kesesakan lalu lintas juga menyebabkan jumlah trip untuk kerja tambunan bagi tujuan penyediaan tapak industri turut terjejas.

Tambahan pula katanya, lokasi tapak kuari yang terlalu jauh juga menjadi cabaran dalam membangunkan BKIP 3.

“Satu lagi cabaran yang kita hadapi adalah keadaan tanah sedia ada yang tidak sesuai dan memerlukan rawatan tanah dilakukan sebelum infrastruktur dibangunkan,” tambah Aziz.

Setelah sipanya BKIP 3, Aziz membayangkan bahawa Pulau Pinang bakal mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ‘Lembah Silikon Timur,’ sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Dengan siapnya BKIP 3 kelak, Pulau Pinang akan terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dengan kehadiran pelaburan berimpak tinggi.

“Di samping itu, pembangunan Bandar Cassia yang merupakan bandar satelit ketiga yang dibangunkan oleh PDC juga mampu menerima impak positif daripada pembangunan BKIP 3.

“Saya optimis Pulau Pinang akan menjadi destinasi pilihan syarikat tempatan serta antarabangsa walaupun bersaing rapat dengan negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor dan Kedah,” kata Aziz.

Pada 16 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah BKIP 3 dekat Bukit Tambun yang merupakan taman perindustrian ke-10 sedang dibangunkan oleh PDC ketika ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD