PANTAI JEREJAK – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan pada tahun 2024 dan diharap terus memainkan peranan sebagai ‘game changer’ (pembawa perubahan) dalam semua sektor pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC menyatakan bahawa PDC sememangnya telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial negeri.
“Sebagai sebuah agensi yang diamanahkan untuk membantu Kerajaan Negeri memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial dalam negeri, saya akui bahawa PDC sememangnya telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Justeru, diharapkan kejayaan demi kejayaan pada tahun lalu dijadikan sebagai asbab serta pembakar semangat untuk PDC lebih berjaya pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Makan Malam PDC 2025 dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik, Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar, Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan dif-dif kehormat yang lain.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa penyediaan platform sedemikian diharap mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai hab utama bagi kesinambungan rantaian nilai dalam pasaran global.
“Semua sedia maklum bahawa PDC memainkan peranan penting dalam usaha menarik pelaburan berimpak tinggi dalam negara dengan pelancaran Penang Silicon Design @5km+ di samping pelbagai lagi usaha-usaha lain.
“Selain daripada inisiatif penyediaan rumah mampu milik iaitu Rumah Bakat Baru Madani yang baru dilancarkan, saya berharap PDC akan bekerja lebih keras untuk tampil dengan projek baharu sehingga ke peringkat akar umbi.
“Adalah diharapkan juga PDC akan terus memainkan peranannya sebagai ‘game changer’ dalam semua sektor pembangunan di Pulau Pinang,” jelasnya yang merupakan Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Sementara itu, Aziz menyatakan bahawa PDC ingin meletakkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang unggul dalam memacu pembangunan ekonomi yang lestari.
“Kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa kerja keras, indikasi dan komitmen seluruh warga PDC serta hasil kepercayaan dan sokongan padu oleh Ahli-ahli Lembaga PDC, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan semua agensi kerajaan.
“Malah, warga PDC sentiasa bersiap siaga dengan pelan tindakan rancangan yang teliti bagi memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Oleh itu, marilah kita meraikan pencapaian (tahun 2024) yang cemerlang dengan memperkukuh hubungan kerjasama di antara kita, (dan) saya yakin dengan semangat kebersamaan ini banyak lagi kejayaan yang boleh dicapai pada masa akan datang,” ujarnya.
Serentak majlis sama, sekalian tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi tersohor tempatan, Jaclyn Victor, disusuli sesi cabutan bertuah berbentuk hadiah wang tunai.
Bertemakan ‘A Night of Disguise’, ratusan tetamu turut berpeluang menyaksikan persembahan silap mata yang memperoleh pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dan persembahan lain lagi.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT & LIM MIN JUN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS