PDC lahirkan 19 usahawan berjaya, sumbang pembangunan sektor ekonomi negeri

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan menyedari sumbangan para usahawan terhadap pembangunan ekonomi di negeri ini.

KETUA Menteri ‘caretaker’ semasa sesi berucap di majlis penganugerahan sebentar tadi.

Sehingga hari ini, Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah meluluskan sebanyak RM26.35 juta kepada 4,059 usahawan di Pulau Pinang menerusi bantuan perniagaan melalui Skim Pinjaman Harapan (SPH).

“Justeru, barisan usahawan yang telah menunjukkan prestasi membanggakan ini telah diraikan menerusi Majlis Anugerah Penjaja dan Peniaga Kecil Cemerlang 2023 (melibatkan enam usahawan) serta Anugerah Usahawan Cemerlang 2023 (13 penjaja dan peniaga),” ujarnya pada majlis berkaitan di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco ‘Caretaker’ Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC; Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zainal Abidin Dato’ Abdul Majid serta barisan wakil agensi kerajaan dan ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, penganugerahan berkaitan sekali gus bertujuan mencetus galakan kepada usahawan untuk terus menjadi ‘role model’.

“Saya berharap dengan bantuan pinjaman SPH ini, para peniaga dapat melebarkan perniagaan masing-masing serta dapat meluaskan rangkaian perniagaan ke luar negeri serta peringkat antarabangsa,” ujarnya sambil menyifatkan bahawa kejayaan para peniaga tempatan secara tidak langsung mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

GAMBAR menunjukkan barisan enam usahawan yang menerima bantuan perniagaan melalui Skim Pinjaman Harapan (SPH).
GELAGAT tetamu yang hadir berebut peluang menangkap gambar bersama-sama Ketua Menteri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menegaskan bahawa inisiatif pemasaran melalui atas talian menjadi salah satu faktor pertumbuhan perniagaan kini.

“Berdasarkan era digitalisasi kini, perniagaan melalui platform atas talian dilihat berupaya menjadi potensi berguna terutamanya semasa pandemik dulu, dan kini era pendigitalan semakin pesat.

“Malah, kempen ‘Keusahawanan Satu Budaya’ (K1B) yang telah dilancarkan pada 1 Ogos lalu adalah bertepatan dalam melahirkan ‘Sebuah Keluarga Seorang Usahawan’.

“Dalam pada itu, K1B juga telah mencatatkan seramai 70,000 usahawan yang telah berdaftar, dan kita mensasarkan menjelang tahun 2030, seramai 100,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bakal dilahirkan di Pulau Pinang melalui inisiatif ini.

“Justeru, tidak ada yang mustahil bagi mereka yang ingin lebih maju pada masa hadapan, jadikan kejayaan hari ini sebagai suntikan semangat kepada semua untuk terus berdaya saing dengan sihat dalam bidang keusahawanan ini,” serunya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT