PDC lancar Studio BIM, langkah progresif ke arah peneraju pembinaan moden

Admin
img 20241219 wa0101

PANTAI JEREJAK – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melancarkan Studio Building Informasi Modeling (BIM) bagi meningkatkan lagi kecekapan dan kualiti dalam pelaksanaan setiap projek yang dibangunkan oleh agensi negeri itu.

Pelancaran Studio BIM PDC disempurnakan oleh Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempena Majlis Sambutan Perayaan Krismas di Atrium PDC di sini sebentar tadi.

Semasa berucap, Kon Yeow memberitahu bahawa Studio BIM PDC merupakan yang pertama di Pulau Pinang dan Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah sebagai satu langkah progresif yang akan membawa Pulau Pinang ke hadapan sebagai peneraju dalam bidang pembinaan lebih moden dan inovatif pada peringkat nasional.

“Semoga inisiatif ini akan terus meningkatkan lagi kecekapan dan kualiti dalam setiap projek yang dilaksanakan oleh PDC.

“Ini secara tidak langsung akan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Pulau Pinang,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

img 20241219 wa0102img 20241219 wa0093img 20241219 wa0095

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar dan pegawai-pegawai PDC.

Kon Yeow menyatakan bahawa selaras dengan Pelan Pendigitalan PDC 2023-2028, agensi negeri itu sebelum ini telah memperkenalkan BIM yang bertujuan merancang dan melaksanakan projek pembangunan.

“BIM adalah satu pelan transformasi dalam pembinaan bangunan secara pintar untuk mempertingkatkan kecekapan serta ketepatan dalam perancangan, reka bentuk, pembinaan dan pengurusan bangunan serta infrastruktur.

“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa projek perintis BIM PDC iaitu GBS Mahsuri, yang dihasilkan secara reverse engineering terhadap pembangunan sedia ada berjaya disiapkan pada 25 September lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata tahun 2024 merupakan tahun yang baik buat PDC sama ada dalam aspek kewangan atau pelaksanaan projek.

“Suku keempat tahun ini menyaksikan PDC terus menerajui usaha memacu ekonomi negeri melalui pelancaran GBS TechSpace sebagai sebuah Ruang Penyelidikan dan Inkubasi Silikon.

“PDC juga telah memainkan peranan penting dalam menyediakan infrastruktur serta ekosistem yang diperlukan yang mana inisiatif Penang Silicon Design @5km+ menyatukan elemen penyelidikan, pembangunan, pendidikan serta invovasi dalam satu kawasan strategik.

“la merangkumi tiga komponen utama iaitu Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital Pulau Pinang, Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang serta juga Ruang Penyelidikan Inkubasi Silikon,” ujarnya.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyempurnakan pra pelancaran projek perumahan Damai Lestari dekat Bertam, Kepala Batas yang merupakan projek perumahan terbaru yang akan dilaksanakan oleh PCD.

“Projek ini merangkumi keluasan tanah seluas 4.481 ekar dan akan terdiri daripada 28 unit rumah teres dua tingkat dan 20 unit rumah berkembar dua tingkat dengan pegangan kekal.

“Keluasan rumah kediaman inibadalah dari 1,830 kaki persegi hingga 2,356 kaki persegi dan dijangka akan dibuka untuk jualan pada suku pertama tahun 2025,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS