PDC lantik juruperunding bebas siasat punca struktur Jambatan Batu Kawan dipercayai tidak utuh

(Dari kiri) IR. Yeoh Lean Huat, Ketua Menteri, Goh Choon Aik dan Teh Lai Heng semasa melawat tapak pembinaan Jambatan Batu Kawan di sini pada tengah hari tadi.

BUKIT TAMBUN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bakal melantik juruperunding bebas bagi membantu siasatan berhubung punca salah satu struktur tiang konkrit bertulang besi (pier) projek pembinaan Jambatan Batu Kawan merentasi Sungai Jejawi ke Jeti Batu Musang yang dipercayai retak dan tidak utuh.

IR. Yeoh Lean Huat

Timbalan Pengurus Besar Kanan PDC, Dato’ Ir. Yeoh Lean Huat berkata demikian selepas mengiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melawat tapak kejadian di sini pada tengah hari tadi.

Menurut Lean Huat, pihaknya menyedari mengenai pergerakan struktur pada binaan konkrit tersebut kira-kira jam 9.30 malam, semalam.

“Dalam masa seminggu, PDC akan melantik juruperunding bebas bagi membantu siasatan, sebelum membuat rumusan mengenai punca insiden ini berlaku,” jelasnya pada sidang media khas yang diadakan dekat tapak projek di sini pada 17 November 2020.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Ketua Pegawai Eksekutif Eksekutif PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar.

Difahamkan, PDC sejak tahun 2017 melaksanakan projek pelebaran jalan lama di sini daripada dua lorong kepada enam lorong serta menaik taraf jambatan tersebut demi menampung lambakan trafik pada masa hadapan di bandar baharu Batu Kawan.

Menurut Lean Huat, sehingga pagi tadi, hanya satu daripada empat struktur ‘pier’ didapati tidak utuh.

Tambah beliau, sehingga kini, tahap pemajuan projek PDC tersebut adalah dalam 68 hingga 70 peratus.

KETUA Menteri

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow menzahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa melibatkan pekerja kontrak ataupun orang awam di tempat kejadian.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut meminta PDC meneruskan pelan pemuliharaan projek awam tersebut, sungguhpun kerja-kerja pemajuan mungkin akan mengalami kelewatan beberapa bulan berbanding jadual asal pada Januari 2021.

“Kejadian telahpun berlaku dan kita menerima hakikat ini.

“Sebagaimana disebut oleh juruperunding projek bahawa keselamatan mesti menjadi aspek utama, walaupun projek ini mungkin akan mengalami kelewatan beberapa bulan,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Di samping itu, beliau turut mengalu-alukan langkah PDC untuk melantik dua juruperunding bebas bagi menyiasat punca kejadian struktur ‘pier’ kedua yang dikesan tidak kukuh tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD