PDC, menjana pembangunan infrastruktur Pulau Pinang

Admin
komtar

PEMBANGUNAN di Pulau Pinang telah mengalami pelbagai perubahan sejak tahun 1970-an dan mengukuhkan statusnya sebagai ‘Lembah Silikon Timur’. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku penggerak utamanya telah melaksanakan inisiatif strategik demi mencipta persekitaran kondusif untuk memenuhi permintaan penduduk dan industri yang semakin meningkat dengan menyediakan kemudahan perindustrian, rangkaian pengangkutan yang menyeluruh dan ruang bandar dengan landskap hijau mampan.

 

Membina Kemudahan dan Infrastruktur Industri di Pulau Pinang

PDC terus aktif dalam menyediakan kawasan perindustrian dengan memperkasakan sistem pengangkutan bersepadu, telekomunikasi, bekalan elektrik yang stabil dan tebus guna tanah.

Pembangunan terawal termasuk Tebus Guna Tanah Bayan Lepas pada tahun 1970-an, diikuti dengan Persiaran Bayan Lepas (kini dikenali sebagai Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu) yang menghubungkan Bandaraya George Town kepada Batu Maung di selatan pulau; terbentang merentasi Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas dengan susur keluar sisi ke Jambatan Pulau Pinang (mengarah ke Zon Perdagangan Bebas Prai), Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (menuju ke Kawasan Perindustrian Batu Kawan) dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pembangunan yang terkini termasuk kemudahan infrastruktur SMART di Taman Perindustrian Batu Kawan dan disokong oleh peningkatan jaringan jalanraya seperti Persimpangan Berlian dan Lebuhraya Bandar Cassia untuk menambahbaikkan pergerakan trafik di sekitar Taman Perindustrian Batu Kawan.

PDC juga terus aktif membangunkan kawasan perindustrian dan perbandaran yang baharu untuk menampung permintaan perindustrian dan populasi yang semakin meningkat:

Perbandaran/Taman Perindustrian dalam Fasa Pembangunan
Bandar Eko Pintar Bandar Cassia
Taman Teknologi Bandar Cassia
Taman Perindustrian Batu Kawan 2
Taman Perindustrian Batu Kawan 3
Taman Sains Selatan Pulau Pinang
Taman Daerah Batu Maung

Jadual 1:  Perbandaran/Taman Perindustrian dalam Fasa Pembangunan

 

Mencipta dan Menggiatkan Semula Landskap Bandar

Permintaan untuk menyediakan lebih banyak ruang bandar turut meningkat sejajar dengan perkembangan Pulau Pinang. PDC terus menerajui urbanisasi untuk menggiatkan semula landskap Bandaraya George Town. Antaranya KOMTAR (Kompleks Tun Abdul Razak) dan Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) (kini dikenali sebagai SPICE) yang melonjakkan reputasi Pulau Pinang sebagai hab perniagaan dan pelancongan.

Sebagai Taman Bandar Arkeologi yang pertama di Malaysia, pasar bersejarah Sia Boey telah memenangi sebutan kehormat di bawah Anugerah The Edge Malaysia-PAM Green Excellence 2020. KOMTAR Walk juga diolah menjadi tempat santai di tengah bandar raya.

siaboey archaeological park
TAMAN Bandar Arkeologi Sia Boey, taman bandar arkeologi yang pertama di Malaysia.

Melaksanakan Kelestarian untuk Masa Hadapan

PDC pada masa kini memperkenalkan lebih banyak elemen mampan di dalam perancangan bandar. Bandar Cassia dibangunkan dengan penambahan kehijauan, lorong-lorong basikal, laluan pejalan kaki dan sebuah Taman Linear seluas 32 ekar dengan kemudahan rekreasi, bersama  dua taman poket- Square@Cassia dan BKIP Entrance Park.

 

Sehingga kini, PDC telah mempelopori 5 taman awam di Pulau Pinang:

Taman awam yang dimulakan oleh PDC Keluasan (Ekar)
Taman Arkeologi Sia Boey 2.53
Taman Poket KOMTAR Walk 1.6
Square@Cassia 0.83
BKIP Entrance Park 1.2
Taman Linear (sedang dibangunkan) 23.46

Jadual 2: Taman awam yang dimulakan oleh PDC

 

Memastikan Kebolehdiaman Masa Hadapan

Menerajui pembangunan yang siapsedia untuk perubahan masa hadapan, Linear Waterfront merupakan pembangunan bercampur terkini PDC yang menampilkan persiaran menghadap laut sepanjang 8km.

Menempa satu lagi pandangan progresif, PDC terus membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mampan, seimbang dan berdaya huni.

 

(Artikel oleh PDC)