PDC perlu tampil lebih kreatif dan progresif bawa Pulau Pinang ke tahap lebih tinggi – Ketua Menteri

Admin
img 20250415 wa0027

BAYAN LEPAS – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) diharap tampil lebih kreatif dan progresif dalam usaha membawa negeri Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa PDC sebagai sebuah agensi negeri perlu menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, pelabur dan semua pemegang taruh utama di negeri ini.

“Umumnya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mencari jalan untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang terus berkembang secara mampan dan inklusif.

“Ini adalah sejajar dengan aspirasi menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai hab ekonomi utama negara.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar PDC tampil dengan kreativiti dan strategi progresif untuk membawa Pulau Pinang ke tahap lebih tinggi menerusi kerjasama erat bersama-sama Kerajaan Persekutuan, pelabur tempatan serta antarabangsa dan semua pemegang taruh utama.

“Pendekatan berkaitan bukan sahaja akan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan strategik, malah secara tidak langsung juga memberi impak positif menyeluruh kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Aidilfitri PDC 2025 dekat sini sebentar tadi.

img 20250415 wa0023img 20250415 wa0039img 20250415 wa0031img 20250415 wa0033

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sambutan Aidilfitri PDC 2025, Mohd. Lukman Mat Isa dan barisan kepimpinan PDC.

Menyentuh mengenai kejayaan PDC, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pembangunan asrama pekerja dan bangunan kemudahan di Plot 1017, Penang Science Park South merupakan salah satu detik transformatif pembangunan negeri pada tahun ini.

“Projek ini menandakan satu langkah penting bagi PDC untuk menceburi cabang perniagaan baharu iaitu penyediaan penginapan selesa serta kemudahan lengkap bagi para pekerja bagi menyokong pertumbuhan sektor industri di Pulau Pinang.

“Dengan pembangunan asrama pekerja ini, kita berharap ia dapat menarik lebih banyak pelaburan, sekaligus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab industri dan teknologi terkemuka.

“Usaha ini juga selaras dengan status Penang Science Park South sebagai pusat inovasi serta teknologi utama di Pulau Pinang.

“Selain itu, projek ini turut menyokong aspek ekonomi dan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif serta pembangunan modal insan mampan,” ujarnya.

Seiring dengan cabaran ekonomi semasa, Kon Yeow turut menyeru agar PDC serta agensi negeri serta pemain industri untuk lebih cakna dan peka terhadap perubahan ekonomi negara yang turut memberi impak kepada negeri Pulau Pinang.

“Diharapkan agar PDC sentiasa berusaha memacu dan meningkatkan kualiti sosioekonomi negeri ini demi kepentingan penduduk selaras dengan Visi Penang2030,” ujarnya.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan berjumlah RM11,000 oleh PDC kepada persatuan-persatuan kebajikan di Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT