PANTAI JEREJAK – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang merangka pelan strategi baharu yang lebih komprehensif terutamanya membabitkan sektor pembangunan perindustrian bagi memenuhi keperluan para pelabur.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya telah menerima pelan (strategi) berkenaan dan melalui beberapa rangka yang telah digariskan, beliau yakin bahawa tindakan susulan tersebut mampu memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka masa panjang.
Menurutnya, Kerajaan Negeri amat yakin PDC yang merupakan agensi pembangunan sosioekonomi negeri mampu terus memacu pembangunan berkualiti demi manfaat menyeluruh rakyat Pulau Pinang.
“Bagi memenuhi keperluan para pelabur, cadangan untuk menambah baik kawasan-kawasan pembangunan sedia ada turut akan diteliti sebagai usaha tambahan bagi meningkatkan taraf hidup serta kualiti prasarana bagi kemudahan dan keselesaan rakyat.
“Diharap dengan terlaksananya pelan ini, maka matlamat PDC sempena ulang tahun ke-50 untuk menjadi sebuah badan perniagaan lebih mampan dan menjana sumber kewangan atau pelaburan yang banyak akan dapat dicapai,” ujar Kon Yeow pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PDC di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abdul Kahar.
Mengulas lanjut mengenai pelan strategi berkenaan, pada sidang media berasingan, Mohd. Bazid menjelaskan bahawa pihaknya (PDC) perlu beralih dan menukar gaya operasi dan juga pentadbiran sedia ada, memandangkan tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar.
“PDC perlu beralih daripada apa yang dilakukan sebelum ini kepada sesuatu yang baru, semestinya kita (PDC) meninjau peluang-peluang baru yang dapat mendatangkan (menjana) pendapatan kepada PDC dan seterusnya membantu Kerajaan Negeri.
“Sebagai sebuah anak syarikat kepada Kerajaan Negeri, adalah menjadi tanggungjawab PDC untuk melaksanakan projek-projek yang dapat memberikan pulangan, sekaligus menjamin kemampanan PDC serta Kerajaan Negeri
“Antara bidang-bidang tersebut seperti sektor penyumberan luar perniagaan global… malah kita (PDC) memiliki kawasan-kawasan pembangunan yang membolehkan usahasama untuk pembangunan semula kawasan perumahan ataupun industri,” jelasnya sebagai menjawab soalan pemberita.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI