PDC, SP Setia kolaborasi bangunkan kawasan industri baharu negeri

Admin
487bc316 5087 4461 8f98 ad6413eea767 KETUA Menteri (tengah) menyaksikan Aziz Bakar (tiga dari kanan) dan Choong Ka Wai (tiga dari kiri) saling bertukar dokumen berkaitan seusai Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara PDC dan SP Setia Berhad di sini pada 3 Mac 2025.

BAYAN LEPAS – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan SP Setia Berhad saling kolaborasi bagi membangunkan kawasan perindustrian baharu di atas tanah seluas 323 ekar di Setia Fontaines Industrial Park, Bertam.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap kawasan perindustrian baharu yang menekankan aspek Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) tersebut akan menarik lebih banyak pelaburan berkaitan industri berprestasi tinggi serta menyediakan peluang-peluang kerjaya berkualiti untuk rakyat Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan projek kolaborasi bersama antara SP Setia dan PDC untuk memajukan suatu taman industri yang bernilai tinggi dan mematuhi ESG.

“(Kawasan perindustrian baharu ini diharap) dapat memenuhi permintaan pelbagai industri yang boleh menambahkuatkan ekosistem dan rantaian pengeluaran.

“Apa pun, (projek kolaborasi ini kelak) akan menyediakan peluang pekerjaan dan tapak perindustrian untuk menarik pelabur,” jelasnya kepada pemberita seusai menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara PDC dan SP Setia Berhad di sini pada 3 Mac 2025.

Difahamkan, kawasan pembangunan bercampur bagi projek Setia Fontaines Industrial Park dekat Bertam yang merangkumi pembangunan perumahan, bangunan komersial serta peruncitan, taman dan landskap hijau, institusi pendidikan serta infrastruktur rekreasi dan sosial secara keseluruhannya seluas 1,691 ekar.

476b00aa f4c7 4fc3 bdb7 9b2a9717a72e
ZAINI Yusoff (kanan) dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri (tengah) dan Rashidi Zinol (kiri) menjelaskan kerja-kerja susulan berkaitan cadangan projek kolaborasi di atas tanah seluas 323 ekar di Setia Fontaines Industrial Park, Bertam.

Bercakap dalam sidang media sama, Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Zaini Yusoff menyatakan bahawa buat masa ini, projek kolaborasi bersama-sama PDC tersebut hanya melibatkan projek pemajuan kawasan industri baharu yang melibatkan tanah seluas 332 ekar sahaja.

Tambah beliau, dalam tempoh dua bulan dari sekarang, SP Setia dan PDC akan menumpu kepada aspek perbincangan berkaitan jenis industri, pengezonan lokaliti serta proses mengemukakan permohonan kebenaran merancang kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Kita tidak akan tunggu lama, akan terus buat,” ujarnya sambil memberitahu bahawa projek tersebut dijanjikan menjana Nilai Pembangunan Kasar (GDV) antara RM1.20 bilion hingga RM1.68 bilion.

Dalam ucapan perasmian majlis MoC sebelum pada itu, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap taman perindustrian baharu di Setia Fontaines Industrial Park kelak akan mengimbangi kepesatan pembangunan industri di Bertam serta memperkaya landskap bandar negeri.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Choong Ka Wai turut berucap dalam majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Acheh; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT