PDC tenaga pemikir pacu ekonomi Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama pelabur

Admin

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa peranan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kini bukan hanya sekadar memajukan negeri Pulau Pinang bahkan juga bertanggungjawab untuk menarik pelabur ke negeri ini.

 

 

Menurut beliau, PDC telah dipertanggungjawabkan menjadi tenaga pemikir kepada Kerajaan Negeri dalam merancang, melaksanakan taman perindustrian, pembangunan perbandaran, pembangunan semula bandar, menyediakan rumah mampu milik serta merancakkan industri pelaburan.

 

 

“Pada tahun ini, PDC telah membangunkan dua kawasan perindustrian baru di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) iaitu Bandar Cassia Technology Park dan Batu Kawan Industrial Park 3 berkonsepkan Integrated Industrial Park dengan jumlah keluasan bersih seluas 673 ekar bagi memenuhi permintaan dari pelabur industri yang semakin meningkat.

 

 

“Secara keseluruhan, konsep pembangunan taman perindustrian baru (oleh PDC) berkaitan adalah selari dengan arah tuju Kerajaan Negeri iaitu berkonsepkan ‘Managed Industrial Park’ (MIP) yang mana penjenamaan semula taman-taman perindustrian baharu adalah perlu dibangunkan bagi merancakkan iklim pelaburan di Pulau Pinang.

 

 

“Secara tidak langsung, pendekatan berkaitan adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam memacu ekonomi dengan menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pilihan pelabur bagi aktiviti-aktiviti perkhidmatan perniagaan global, hab penyelidikan & pembangunan (R&D) serta hab Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT),’’ ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Deepavali PDC 2023 di Atrium PDC Bayan Baru di sini sebentar tadi.

 

 

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ S. Sundarajoo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Dato’ Loo Lee Lian dan dif-dif jemputan lain.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa PDC juga telah juga membangunkan projek GBS By the Sea, iaitu projek GBS ketiga PDC selepas GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri yang mana syarikat semikonduktor, AMD Global Services (M) Sdn. Bhd. akan menjadi salah satu penyewa yang terbesar dengan menyewa hampir 70 peratus ruang lantai bangunan tersebut.

“Projek GBS By the Sea berkaitan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024, dan sekaligus akan memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka masa panjang,” ujarnya lanjut.

 

 

Menurut Kon Yeow, beliau sehingga kini berbangga dengan pencapaian, semangat serta komitmen warga PDC berhubung pelbagai projek yang telah dan juga sedang dalam proses mahupun yang masih di dalam peringkat perancangan.

 

 


“Saya juga berharap ia akan terus mendorong organisasi ini ke tahap yang lebih tinggi, dan adalah diharapkan bahawa semoga kita semua dapat terus memperkasakan jalinan dan kerjasama erat ini untuk menggerakkan transformasi negeri Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan unggul, lokasi pilihan para pelabur serta pilihan penghuni yang inginkan kehidupan yang mampan dan berkualiti,” ulasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN

Video : ALISSALA THIAN