PDC tumpu pelaksanaan projek berimpak tinggi tingkat pendapatan

Admin

BAYAN LEPAS – Agensi Kerajaan Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan memberikan tumpuan kepada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi pada tahun ini bagi meningkatkan pendapatan secara berterusan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah tersebut juga bertujuan untuk mendapatkan keyakinan pihak pelabur terhadap keupayaan PDC sebagai ‘pengurus projek’ dan rakan niaga yang dinamik.

“Antara projek berimpak tinggi yang sedang diteliti untuk diceburi adalah Pembangunan Taman Perindustrian Baru, Linear Waterfront, Distribution Park, projek perumahan pekerja, ekopelancongan, hab perubatan dan sebagainya.

Ketua Menteri bersama-sama Aziz Bakar semasa hadir memeriahkan rumah terbuka Sambutan Tahun Baru Cina anjuran PDC dekat sini sebentar tadi.

“Dengan Pelan Strategik PDC yang telah digariskan, saya yakin dan percaya bahawa tindakan susulan ini mampu memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2023 dekat Atrium PDC di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Dato’ Loo Lee Lian serta ketua-ketua jabatan dan kakitangan PDC.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC dalam itu, percaya bahawa agensi negeri tersebut sedang melaksanakan strategi baru terutamanya dalam pembangunan sektor perindustrian bagi memenuhi keperluan para pelabur.

“Malah, PDC juga berusaha menambah baik kawasan-kawasan pembangunan sedia ada untuk diteliti sebagai usaha tambahan bagi meningkatkan taraf hidup dan kualiti prasarana demi kemudahan serta keselesaan penduduk negeri ini,” ujarnya.

Antara yang hadir memeriahkan majlis

Pada masa sama, Kon Yeow turut memuji prestasi aliran tunai PDC tahun lepas yang mencatatkan lebihan pendapatan berjumlah RM244 juta.

“Pada tahun 2022, pencapaian sebenar Bajet Aliran Tunai PDC adalah sebanyak 99 peratus untuk penerimaan manakala prestasi perbelanjaan sebanyak 68 peratus yang membawa kepada lebihan pendapatan sebanyak RM244 juta.

“Sehubungan itu, PDC telah membuat penyelesaian awal pinjaman jangka panjang berjumlah RM68 juta dan pinjaman Kerajaan Negeri sebanyak RM14 juta yang mana sekali gus telah memberi penjimatan faedah sejumlah RM2.6 juta,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Sementara itu, Aziz berharap agar semua warga PDC lebih yakin, dinamik dan bersemangat dalam memastikan segala perancangan projek-projek strategik dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun ini.

“Saya yakin, Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan ahli lembaga akan sentiasa bersama-sama kami di PDC untuk memberikan sokongan, panduan dan galakan untuk sama-sama bergerak sebagai satu pasukan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri Pulau Pinang,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS