PDM Masakan mampu jana pendapatan melalui keusahawanan -Exco

Admin

PERMATANG BERANGAN – Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Rashidi Zinol melihat usaha Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menaik taraf kelas kemahiran masakan menjadi Pusat Daya Maju (PDM) Masakan mampu menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan, khususnya masakan.

 

 

Pelaksanaan PDM ini, katanya, termasuklah menyediakan pelbagai peralatan tambahan untuk membantu masyarakat terutamanya yang kurang berkemampuan selain memperkenalkan kemudahan baharu bagi menarik minat masyarakat untuk mengikuti kelas kemahiran KEMAS yang terdapat di seluruh negara.

 

 

 

“Selain itu, PDM ini juga menyediakan pelbagai kemudahan peralatan moden untuk kegunaan usahawan-usahawan bimbingan KEMAS bagi meningkatkan produktiviti dan penambahan pengeluaran produk.

 

 

 

“Malah, usahawan-usahawan yang tidak mempunyai peralatan yang lengkap juga boleh datang ke PDM ini untuk menggunakan peralatan yang disediakan.

 

 

 

“Justeru, diharapkan program PDM Masakan ini dapat meningkatkan kemahiran para peserta, seterusnya peluang itu digunakan sebagai cara untuk menjana pendapatan melalui keusahawanan,” ujar Rashidi kepada pemberita di Dewan Seroja, Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS, Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor baru-baru ini.

 

 

Tambahnya lagi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui KEMAS dalam pelaksanaan PDM tersebut juga menyasarkan golongan usahawan wanita untuk terlibat secara aktif dalam bidang pembuatan makanan agar taraf hidup mereka dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.

 

 

“Ini kerana golongan wanita dilihat mempunyai keupayaan besar dalam menyumbang tenaga dan kepakaran dalam pertumbuhan ekonomi negara,” kata Rashidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : EXCO