PEARL aplikasi transaksi tanpa tunai MBPP, hadiah kereta elektrik BYD kepada pemenang

img 4657 KAM Swee Lean (kanan sekali), 40an, merupakan pemenang hadiah utama cabutan bertuah iaitu kereta elektrik BYD Seal sempena Kempen Bayar & Menang MBPP dengan menggunakan aplikasi pintar PEARL - One Touch Penang, merakamkan gambar kenangan bersama-sama barisan pemimpin lain di aras bawah pasar raya 1st Avenue, George Town pada 12 Januari 2025.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan terus memacu agenda pendigitalan perkhidmatan kerajaan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat di Pulau Pinang.

img 4636
JASON H’ng Mooi Lye semasa menyampaikan ucapan perasmian majlis berkaitan di sini pada pagi tadi.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memberitahu bahawa aplikasi pintar PEARL – One Touch Penang yang dibangunkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini mengintegrasi lebih daripada 100 perkhidmatan berkaitan termasuk pembayaran cukai taksiran, semakan kompaun, tempahan kemudahan awam dan sebagainya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Cabutan Bertuah PEARL – One Touch Penang dan Penyampaian Hadiah Kempen Bayar dan Menang MBPP di sini pada 12 Januari 2025.

Menurut Mooi Lye, tujuan pembangunan aplikasi pintar PEARL ini adalah untuk menggalakkan orang awam menjalankan semua transaksi tanpa tunai yang lebih senang dan tanpa perlu pergi ke kaunter MBPP.

“Dilancarkan pada bulan April 2023, PEARL bukan sahaja merupakan aplikasi hiperlokal, tetapi juga dompet elektronik (e-wallet) pertama yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia.

“Menerusi PEARL, MBPP telah berjaya memudahkan kehidupan rakyat Pulau Pinang dan meningkatkan kecekapan dalam berurusan dengan Kerajaan Tempatan secara digital,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

Di samping itu, beliau berkata inisiatif MBPP menganjurkan Kempen Bayar dan Menang yang bermula pada bulan Februari hingga 31 Disember 2024 telah memberi peluang kepada pengguna memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk kereta elektrik BYD Seal, motosikal EV (kenderaan elektrik) dan pelbagai peranti telekomunikasi moden lain.

img 4630
A. Rajendran

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran memberitahu bahawa aplikasi pintar dan mudah alih _PEARL – One Touch Penang_ tersebut dibangunkan dengan usaha sama syarikat Fintech tempatan iaitu ManagePay Services Sdn. Bhd. (MPay).

Tambahnya lagi, setakat bulan Disember 2024 PEARL telah dimuat turun sebanyak 27,025 pengguna serta mencatatkan penggunaan sebanyak RM5,287,894.12.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin memaklumkan ‘Kempen 1% Cashback’ pembayaran cukai taksiran MBPP telah bermula pada 1 Disember 2024 hingga 28 Februari 2025.

“(Mereka) yang ingin membuat pembayaran cukai taksiran MBPP boleh menggunakan PearlPay Wallet untuk menikmati 1 peratus pulangan tunai daripada transaksi yang berjaya.

“Pulangan tunai ini akan dikreaditkan ke akaun PearlPay Wallet masing-masing,” jelasnya sambil memberitahu bahawa sejak Februari 2024 menyaksikan seramai 111,992 penyertaan layak untuk menyertai Kempen Bayar dan Menang MBPP.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Setiasuaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Pengarah Urusan ManagePay Systems Berhad, Datuk Chew Chee Seng; dan Penolong Pengurus Besar 1st Avenue Mall, Tracy Tan Lin Hong, Ahli-Ahli Majlis MBPP serta Ketua-Ketua Jabatan bagi PBT berkenaan turut sertai majlis tersebut.

img 4628
SUASANA di lokasi penganjuran majlis berkaitan dekat aras bawah pasar raya 1st Avenue, George Town menjelang tengah hari tadi.

Buletin Mutiara difahamkan MBPP sejak bulan Mei tahun lepas berjaya melaksanakan dasar 100 peratus transaksi tanpa tunai.

Kejayaan itu telah menobatkan MBPP sebagai pemenang tempat ketiga PBT terbaik di seluruh negara untuk kategori inisiatif transaksi tanpa tunai, yang dianjurkan oleh Konvensyen Kerajaan Tempatan pada 26 Oktober tahun lepas.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB