Pecah kawasan pentadbiran MBSP kepada beberapa PBT tidak berdaya maju – Exco

GEORGE TOWN – Cadang memecahkan kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) seluas 747.81 kilometer persegi (km2) kepada beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baharu adalah langkah tidak berdaya maju.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata langkah itu tidak memberi nilai tambah terutamanya dari segi kewangan bagi kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Cadangan memecahkan kawasan pentadbiran (MBSP) akan menyebabkan berlaku pembaziran sumber kerana kemudahan awam yang boleh dikongsi, malah infrastruktur, kakitangan dan logistik juga perlu ditambah mengikut daerah selain tidak mendapat ‘economies of scale’,” jelasnya yang juga semasa menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-15 di sini pada 20 November 2023.

Selain itu, Mooi Lye yang juga ADUN Jawi memberitahu bahawa status bandar raya yang dimiliki oleh MBSP pada ketika ini juga berkemungkinan besar akan hilang dengan memecahkan pentadbiran kepada tiga PBT mengikut daerah termasuk Seberang Perai Tengah disebabkan tidak menepati kriteria penarafan bandar raya kepada sesebuah bandar.

Sebelum itu, beliau memberitahu bahawa pendapatan MBSP bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM304,918,556, diikuti RM315,094,359.00 (2022) dan RM274,377,592 (sehingga 30 September 2023).

Perbelanjaan PBT itu pula, menurut beliau adalah sebanyak RM285,369,334 (2021), RM310,186,185 (2022) dan RM228,958,400 (sehingga 30 September 2023).

Tambah Mooi Lye, MBSP pada tahun 2021 mengalami kurangan kewangan (defisit) sebanyak RM19,549,222, diikuti RM4,908,174 (2022) dan sehingga 30 September 2023 sebanyak RM45,419,193.

Sementara itu, Choon Aik dalam sesi soalan tambahan selepas itu bertanya sama ada MBSP masih mempunyai cadangan untuk memecahkan kawasan pentadbiran kepada PBT baharu pada masa hadapan memandangkan berlaku pertambahan penduduk serta mempunyai jumlah wakil rakyat yang lebih daripada bilangan 24 Ahli Majlis.

Menjawab persoalan tersebut, Mooi Lye berkata perkara itu akan dipertimbangkan pada masa hadapan jika dua kemungkinan yang dibangkitkan Choon Aik itu dianggap wajar untuk dilihat secara pentadbiran.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN & ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & SITI NURATIKAH RAHMAT