BATU UBAN – Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, Sim Tze Tzin mencadangkan supaya pegawai di Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSHA) di setiap kilang diperkasakan dengan pengetahuan lebih mendalam mengenai keselamatan dan kesihatan awam.
Perkara tersebut, katanya, amat penting dalam memastikan penularan COVID-19 melibatkan sektor perkilangan dapat dikawal sepenuhnya.
“Jadi saya ingin cadangkan kilang melalui Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) perlu perkasakan pegawai OSHA untuk memastikan penjagaan kendiri dipertingkatkan di samping keselamatan dan kesihatan awam.
“Sekiranya sebelum ini pegawai OSHA menitikberatkan soal keselamatan, namun pada masa pandemik ini mereka perlu titik beratkan soal kebersihan persekitaran dalam membendung wabak.
“Isu-isu seperti kitaran udara di kilang, pengangkutan, asrama pekerja dan lain-lain perlu diberi perhatian serius bagi memastikan sektor ini tidak lagi menjadi penyumbang kepada kenaikan kes mendadak,” ujar Tze Tzin ketika melawat kemudahan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Hotel Equatorial baru-baru ini.
Hadir sama, Penasihat PIKAS Hotel Equatorial, Alan Ong Huck Chye.
Mengulas lanjut, Tze Tzin juga berharap Kerajaan Pusat dapat membuat persediaan menambah pembelian vaksin seperti dilakukan oleh sesetengah negara.
“Kita tidak tahu bila pandemik ini akan selesai bahkan ia dilihat sesuatu yang berpanjangan.
“Singapura contohnya mengambil langkah pembelian vaksin untuk tahun depan, bahkan ada negara yang buat pembelian melebihi 200 peratus daripada populasi.
“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga boleh buat persediaan serupa sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN