GEORGE TOWN – Seramai 41 peguam syarie baharu menerima tauliah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP), semalam, untuk membolehkan mereka mempraktikkan proses perundangan Islam di mahkamah-mahkamah syariah di seluruh negeri Pulau Pinang.
Pentauliahan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid pada Majlis Pengisytiharan dan Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang di JKSNPP dekat Jalan Batu Gantung.
Mohamad berkata, peguam syarie bertauliah mempunyai peranan besar dalam memberikan kesedaran dan pengetahuan yang betul dan jelas kepada masyarakat tentang isu-isu berkaitan syariah.
“Peguam syarie merupakan sebahagian daripada tunjang sistem kehakiman dan perundangan syariah dengan diterajui oleh tiga tonggak utama iaitu, hakim syarie, pendakwa syarie dan peguam syarie.
“Ketiga-tiga tonggak ini berkait rapat dan perlu bersama-sama memainkan peranan ke arah memartabatkan institusi kehakiman dan perundangan Islam seterusnya memperlihatkan keadilan.
“Mengambil kesempatan ini, ingin saya titipkan nasihat kepada barisan peguam syarie yang baharu ditauliahkan agar sentiasa menjaga profesionalisme dan etika sebagai peguam syarie serta memberi perkhidmatan guaman yang terbaik dan berkesan kepada anak-anak guam,” ujarnya.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah, Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd. Nor dan Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Dato’ Muhamad Abdul Karim Wahab.
Mengulas lanjut, Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat itu mahu peguam-peguam syarie di Pulau Pinang menghayati slogan ‘Syariah Asas Keadilan’ dan diamalkan sepanjang melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa peguam syarie itu perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuan berkaitan dengan bidang tugas serta peka terhadap perkembangan perundangan dan kehakiman syariah agar tidak ketinggalan,” kata Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Dalam perkembangan lain, menyentuh mengenai tindakan mencabar peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 di Mahkamah Persekutuan, Muhamad Abdul Karim menegaskan bahawa fungsi Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang tidak terganggu dengan tindakan tersebut.
“Walaupun isu ini mendapat liputan meluas dan banyak pihak membincangkannya, pada saya ia tidak menjejaskan fungsi mahkamah syariah negeri.
“Ini kerana, undang-undang itu bersifat negeri itu sendiri. Selagi tiada cabaran di negeri itu sendiri, saya berpendapat fungsi mahkamah syariah perlu berjalan seperti biasa.
“Sebenarnya peratusan kes jenayah syariah yang dibawa ke mahkamah syariah sangat kecil, kira-kira 20 peratus sahaja, yang banyak adalah berkaitan kes kekeluargaan seperti pemberian nafkah, isu faraid dan sebagainya,” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR