Pejabat Daerah & Tanah DBD tingkat pemerkasaan komuniti perangi COVID-19

Admin

PERMERKASAAN KOMUNITI…Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (PDTDBD) mempertingkatkan aktiviti pemerkasaan komuniti secara bersepadu dalam usaha memerangi penularan pandemik COVID-19 di kawasan pentadbirannya.

Penolong Pegawai Daerah PDTDBD, Abdul Hakim Nasharudin memberitahu bahawa aktiviti yang digerakkan sejak awal Februari 2021 itu turut melibatkan wakil-wakil penduduk serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Antara lokasi yang menjadi tumpuan, katanya, adalah di sekitar Jalan Tengah dekat Pantai Jerejak dan Skyview Residen yang merupakan kawasan asrama bagi pekerja asing di Batu Maung.

Wakil-wakil komuniti serta pihak berkaitan menjalankan aktiviti hebahan untuk memberi kesedaran berkaitan pematuhan SOP kepada komuniti setempat.

“Program pemerkasaan komuniti ini merupakan sebahagian daripada pendekatan yang diambil dalam memerangi COVID-19 ke peringkat akar umbi.

“Wakil-wakil komuniti seperti MPKK, kariah masjid, kelompok pertanian, unit-unit nelayan, badan pengurusan bersama dan lain-lain kediaman perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk setempat.

“Pihak-pihak berkaitan juga perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dipatuhi selain melaksanakan pemantauan komuniti di lokaliti masing-masing,” ujarnya melalui kenyataan media bertarikh 17 Februari 2021.

Jelasnya lagi, pendekatan yang diambil dalam pelaksanaan aktiviti berkenaan adalah berteraskan konsep dari bawah ke atas (bottom-up) yang mana komuniti diberikan peluang untuk turut memainkan peranan dalam usaha mencegah penularan COVID-19.

“Melalui program ini, wakil komuniti perlu melaporkan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di bawah inisiatif Pemerkasaan Komuniti kepada penghulu kawasan masing-masing bagi tujuan pemantauan.

“Selain itu, mereka juga akan dibantu oleh agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan lain-lain agensi sekiranya terdapat sebarang keperluan,” ujarnya lagi.

Gambar : Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya