BUKIT TAMBUN – Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan buat julung kalinya bakal menganjurkan Program Kemahiran dan Keusahawanan bagi membantu memperkasakan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana rendah (M40) di kawasan berkenaan.
Pengarah Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way berkata bahawa sebanyak empat program ditawarkan iaitu Kursus Barista pada 25 November 2023, Kursus Teknologi Retort (10 Disember), Kursus Fotografi (16 Disember) dan Program Keusahawanan Telekomunikasi.
Katanya, program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pembangunan TVET Pulau Pinang itu adalah terbuka kepada golongan belia serta ibu tunggal yang berumur 18 tahun ke atas dan merupakan pemastautin di kawasan Parlimen Batu Kawan.
“Jumlah peserta adalah terhad kepada 30 orang sahaja bagi Kursus Barista dan Program Keusahawan Telekomunikasi manakala Kursus Teknologi Retort dan Kursus Fotografi masing-masing 20 orang.
“Tujuan kita anjurkan program ini adalah untuk membantu memperkasakan golongan B40 dan M40 dengan membekalkan pengetahuan dan kemahiran tambahan yang mana peserta boleh menggunakan ilmu yang diperolehi untuk menjana pendapatan.
“Program ini juga sebahagian daripada insentif pembangunan modal insan bagi tujuan menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri selain membantu peserta berkembang maju dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif,” katanya pada sidang media berkaitan program tersebut dekat Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Law Keng Ee serta kakitangan Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan.
Mengulas lanjut, Chee Way berkata bahawa program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Ahli Parlimen Batu Kawan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
“Setiap peserta yang terpilih akan menerima bantuan peralatan sebagai kit permulaan untuk perniagaan seperti mesin barista, pengisar kopi, mesin retort, kamera digital, tripod, lampu studio serta light box mengikut kursus apa yang mereka pilih.
“Bagi Kursus Keusahawan Telekomunikasi pula, mereka yang berdaftar dan terpilih akan dihubungi oleh syarikat redOne Network Sdn. Bhd. pada bila-bila masa sahaja,” jelasnya.
Chee Way berkata, mereka yang berminat untuk menyertai kursus yang ditawarkan boleh mendaftar melalui Google Form dengan mengimbas Kod QR yang tertera dan tarikh tutup permohonan adalah seminggu sebelum kursus berlangsung.
“Kita sarankan supaya setiap seorang hanya menyertai satu kursus sahaja kerana jumlah penyertaan adalah terhad dengan keutamaan akan diberikan kepada golongan B40 dan M40.
“Kursus akan diadakan di Pejabat Parlimen Batu Kawan dekat Jalan Iconic Point, Simpang Ampat dari jam 9 pagi hingga 4 petang,” katanya.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi 04-588 7200 atau e-melkan kepada [email protected].
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD