Pejabat TKM1, Bertam Properties anjur kejohanan golf amal

Admin

PINANG TUNGGAL – Kejohanan Golf Amal Undangan 2019 di Penang Golf Resort, Kepala Batas pada pagi ini bukan sahaja bagi mengumpul dana untuk aktiviti kebajikan bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal, bahkan demi menghimpunkan golongan profesional tempatan ke arah memajukan komuniti.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa acara tersebut dianjurkan secara bersama melibatkan Pejabat Khidmat Komuniti ADUN Pinang Tunggal dengan tajaan utama daripada Bertam Properties Sdn. Bhd., serta kolaborasi daripada Penang Goft Resort dan JV Heritage Resources.

“Di Pinang Tunggal ini, bukan sahaja ada Penang Goft Resort, malah ada begitu ramai profesional dan pegawai kerajaan berpangkat tinggi (seperti) Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan), ada beberapa beberapa pusat pengajian serta banyak syarikat korporat.

“Jadi, kita (Pusat Khidmat Komuniti ADUN Pinang Tunggal) memikirkan perlunya suatu mekanisme untuk menghimpunkan golongan profesional ini, bersama-sama melaksanakan aktiviti kolektif untuk melaksanakan aktiviti komuniti di Pinang Tunggal.

“Ini adalah projek percubaan atau pra pelancaran untuk Penang Goft Resort, mungkin pertama dianjurkan oleh Pusat Khidmat Komuniti ADUN di Pulau Pinang.

“Matlamat akhir kita tentulah supaya dana amal daripada program seumpama ini dipulangkan kepada masyarakat terpilih di Pinang Tunggal,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tinggal sebelum merasmikan acara tersebut di sini pada 19 Oktober 2019.

Justeru, Ahmad Zakiyuddin yang Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat berharap, lebih banyak lagi syarikat korporat tempatan seperti Bertam Properties Sdn. Bhd., Penang Goft Resort dan JV Heritage Resources tampil untuk menganjurkan program-program amal seumpama berkaitan demi mengambil bahagian kembali berbakti kepada masyarakat setempat terpilih.

Difahamkan, hampir 60 profesional tempatan, pegawai kerajaan dan usahawan muda menyertai acara pada pagi ini, dengan kumpulan dana awal direkodkan sejumlah lebih RM30,000.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB