GEORGE TOWN – Jimah Binti Chin, 74, iaitu anggota kumpulan muzik tradisional Fajar Irama Ghazal Parti merupakan antara 19 pejuang warisan dan budaya yang hadir menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dalam acara keraian berkaitan anjuran agensi negeri, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini pagi ini.
Penerima lain antaranya ialah Tang Ah Wa (Adiguru Wushu dan Taichiquan); Omar Md. Hashim (Kumpulan Boria Omara Pulau Pinang) dan Nyonya Lillian Tong Poh Kheng (pejuang warisan budaya Baba Nyonya Pulau Pinang)
Sebelum menyampaikan anugerah berkaitan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa para penerima anugerah berkenaan sebagai pejuang warisan dan budaya serta wira yang tidak didendang di sebalik usaha menjaga nilai keunggulan sejagat di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town sehingga kini.
“Program ini amat unik dan istimewa (kerana) dapat membayangkan keprihatinan GTWHI untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada pengamal budaya, seni muzik serta sebagainya.
“Jumlah keseluruhannya yang menerima anugerah dan pengiktirafan adalah seramai 85 individu atau kumpulan, yang hadir pada pagi ini adalah seramai 19 penerima bagi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (GTWHI).
“Tempoh 14 tahun telah berlalu selepas George Town memperoleh pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kita sedar bahawa betapa pentingnya untuk kita menjaga serta mewariskan warisan budaya kita kepada generasi akan datang.
“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada para pejuang warisan budaya seperti anda semua supaya secara aktif mendokumentasikan pengetahuan serta kemahiran pada diri sebagai langkah proaktif mewariskan kepada generasi akan datang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkaitan.
Tambah Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi, Kerajaan Negeri melalui GTWHI dan agensi-agensi lain komited menyediakan sumber bagi usaha program-program pemindahan ilmu dan kemahiran berkaitan warisan budaya kepada generasi akan datang.
Sebelum itu, Pengurus Besar GTWHI, Dr. Ang Ming Chee memberitahu bahawa Pengiktirafan dan Anugerah GTWHI yang dianjurkan tersebut adalah inisiatif khas agensi negeri tersebut bersempena ulang tahun ke-10 GTWHI dan ulang tahun ke-12 Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (pada tahun 2020).
“Penganjuran projek ini adalah bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan awam kepada mereka yang telah melaksanakan misi luar biasa dalam menjaga warisan budaya kita,” ujarnya.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang, S. Bharathi merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara berkenaan.
Pada April 2021, seramai 78 penerima Pengiktirafan dan Anugerah Warisan GTWHI telah diumumkan semasa ulang tahun ke-11 GTWHI membabitkan empat kategori iaitu Konservasi; Penambahbaikan dan Adaptasi; Program dan Aktiviti Warisan Kebudayaan; Pengiktirafan Kesinambungan Budaya dan Pencapaian Sepanjang Hayat.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD