Pekan Budaya 2022 semarak aktiviti seni dan pacu ekonomi

BATU UBAN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin menyifatkan kebudayaan adalah elemen penting dalam proses pembangunan negeri untuk memperkasakan industri pelancongan dan ekonomi kreatif.

 

 

Selain itu, ia mampu memberi impak yang hebat kepada keseluruhan rantaian ekonomi negeri.

 

 

“Komitmen yang dizahirkan oleh semua pihak dalam menganjurkan Program Pekan Budaya 2022 berteraskan keusahawanan ini amat penting bagi memastikan kesinambungan ekosistem perniagaan dapat terus berkembang maju pada fasa peralihan endemik.

 

 

“Program Pekan Budaya ini merupakan program sentuhan komuniti bertujuan memupuk semangat cintakan negeri melalui #LovePenang dalam kalangan penggiat seni dan usahawan kebudayaan setempat.

 

 

“Ia menyemarakkan semula aktiviti seni budaya setempat yang mampu memacu semula ekonomi negeri Pulau Pinang dan Malaysia,” ujar Soon Hin pada Majlis Penutup Program Pekan Budaya 2022 di Kompleks Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

 

 

Yang diPertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, hadir sebagai tetamu kehormat dan menutup program tersebut secara rasmi.

 

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (PERDASAMA), Malik Faisal Abdul Rahman;  Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Bambang Suharto dan Ahli-ahli Jawatan Seketeriat USM.

 

 

Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, untuk mencapai kesan berganda dan limpahan ekonomi positif, pihak kerajaan dan swasta digalakkan bekerjasama dengan hala tuju serta tumpuan dasar yang inklusif dan mampan.

 

 

“Semua ini selaras dengan hala tuju Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pilihan dalam misi menerokai keindahan budaya, kesenian dan pelancongan, mampan dari pelbagai segi untuk terus mencipta produk kebudayaan dan pelancongan berkualiti bertaraf antarabangsa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

 

Antara program yang memeriahkan Pekan Budaya 2022 adalah pertandingan nyanyian, promosi jualan, jualan kenderasaji, permainan tradisional, gerai spa dan kecantikan tradisional, persembahan kebudayaan dan lain-lain lagi dari 25 hingga 27 Oktober.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING