Pelabuhan Swettenham No. 1, terbanyak terima kapal pelayaran mewah

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pelabuhan Swettenham kini menjadi pelabuhan nombor satu yang menerima ketibaan kapal pelayaran mewah paling banyak dalam negara sekaligus mengatasi Pelabuhan Klang.

Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang berkata, bagi tempoh setengah tahun pertama 2017, pelabuhan tersebut telah menerima sebanyak 125 kapal pelayaran berbanding Pelabuhan Klang (87).

Menurut beliau, perkembangan berkenaan membawa kepada kesan positif peningkatan pelancong dalam negeri selain memberi manfaat kepada industri pelancongan kapal pelayaran.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat serius terhadap perkembangan pelancongan kapal pelayaran di sini.

“Mengikut statistik dari Januari hingga Jun 2017, pelabuhan ini telah menerima sebanyak 125 kapal pelayaran… yang kadang-kalanya ia (Pelabuhan Swettenham) menerima permintaan sehingga empat kapal pelayaran sehari,” ujarnya sambil menyatakan bahawa lokasi pelabuhan yang strategik telah memudahkan para pelancong mengakses ke lokasi-lokasi menarik sekitar bandar George Town.

Heng Kiang berkata demikian ketika menyambut ketibaan 2,400 penumpang kapal pelayaran mewah, Costa Victoria yang singgah berlabuh di Pulau Pinang pada 18 Disember lalu.

Hadir sama, Pengerusi Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Dalam usaha memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat, Heng Kiang memberitahu, pihak PPSB dan syarikat pelayaran global, Royal Carribean Cruises Ltd. (RCCL) kini dalam rangka perbincangan bagi menaik taraf Pelabuhan Swettenham pada masa hadapan.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga menyambut baik cadangan RCCL untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘homeport‘ pihaknya selepas kerja-kerja menaik taraf ini dilaksanakan.

“Hasrat ini sangat bagus… dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai homeport, maka penumpang dari serata negara akan datang dan bermalam di Pulau Pinang sebelum memulakan pelayaran masing-masing.

“Justeru, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama PPSB mempunyai perancanga  untuk memfokuskan pemasaran kapal pelayaran dalam skala lebih besar seperti Eropah dan Amerika Syarikat,” jelasnya.