Pelaburan ke Pulau Pinang memberangsangkan, cipta peluang pekerjaan baharu – TKM I

Admin

GEORGE TOWN – RM9.2 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan oleh agensi Persekutuan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk Pulau Pinang dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding RM5.8 bilion keseluruhan pelaburan bagi tahun 2018.

Memetik sumber sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa limpahan pelaburan dalam sektor perindustrian negeri turut diterjemahkan melalui penjanaan 11,484 peluang pekerjaan baharu untuk penduduk Pulau Pinang.

“InvestPenang (iP) menerima peningkatan dalam bilangan pertanyaan daripada syarikat-syarikat asing untuk menubuhkan operasi di Pulau Pinang terutamanya syarikat-syarikat dari negara China.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2019, InvestPenang telah mengadakan pertemuan dengan 108 syarikat yang menunjukkan minat untuk menubuhkan operasi di Pulau Pinang berbanding 71 pertemuan pada tempoh sama tahun lepas.

“Oleh yang demikian, perang perdagangan ini bukanlah menjadi penghalang bagi menjana perkembangan ekonomi menerusi kemasukan pelaburan terutamanya dalam bidang teknologi baharu, seperti pengkomersilan 5G, percambahan Revolusi Industri 4.0, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), autonomous driving dan sebagainya,” jelasnya ketika Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 dekat Dewan Sri Pinang pagi ini.

Penjelasan Ahmad Zakiyuddin sebagai menjawab soalan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih yang juga Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat memberitahu bahawa sektor pembuatan negeri mencatatkan peningkatan dari segi jumlah eksport iaitu sebanyak 1.2 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019 berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau bagaimanpun katanya, Pulau Pinang secara keseluruhannya dijangka akan terkesan dengan pertumbuhan sektor pembuatan global yang diunjur lebih perlahan.

“Pulau Pinang yang mempunyai pengalaman perindustrian selama lebih 47 tahun dengan kekuatan dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) dijangka menerima impak positif daripada peralihan pelaburan (investment diversion) dan peralihan kapasiti pembuatan (production capacity shift) ini,” ujarnya yang juga ADUN Pinang Tunggal.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: LAW SUUN TING