GEORGE TOWN – Bagi suku ketiga 2023 (3Q23) sahaja, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan RM34.6 bilion pelaburan berkaitan sektor pembuatan masuk ke Pulau Pinang, dengan peningkatan kira-kira 421 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ini, menjadikan pelaburan masuk ke negeri ini yang merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor premier bagi tempoh Januari hingga September tahun ini secara keseluruhannya sebanyak RM44.9 bilion.
Pelaburan langsung asing (FDI) berkaitan sektor pembuatan ke Pulau Pinang sahaja bagi tempoh Januari hingga September tahun berjumlah RM35.8 bilion menyamai peningkatan 634 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri ,Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Putrajaya wajar menaik taraf infrastruktur asas berkaitan yang sedia ada di negeri dengan mengambil kira Pulau Pinang menyumbang kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan FDI berkaitan sektor pembuatan negara.
“(Bank) tanah, bekalan air terawat, tenaga elektrik, isu kesesakan trafik, bakat mencukupi, (pembesaran) Lapangan Terbangsa (Antarabangsa Pulau Pinang), Pelabuhan (Pulau Pinang), semua ini adalah mempunyai hubung-kait dengan ekonomi serta mengakibatkan kesendatan (bottle-neck) di negeri ini.
“Justeru, kita (Pulau Pinang) perlu menghadapi kenyataan bahawa infrastruktur kita telah sampai pada suatu peringkat yang memerlukan penaiktarafan (daripada pihak Putrajaya) memandangkan Pulau Pinang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada FDI pembuatan negara, dengan menguasai 42 peratus,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 11 Disember 2023.
Kata Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, kemasukan RM35.8 bilion FDI dalam sektor pembuatan negeri adalah menyamai peningkatan sebanyak 634 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Mengulas lanjut mengenai laporan perangkaan yang dikeluarkan MIDA, Kon Yeow menyatakan bahawa Belanda, Amerika Syarikat dan Singapura merupakan negara penyumbang terbesar kepada sektor pembuatan negeri, iaitu kira-kira 95 peratus.
Di samping itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama antara MIDA dan agensi negeri, Invest Penang dalam menggalak serta menarik masuk pelabur ke Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi; Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Rashidi Zinol; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Penang, Dato’ Loo Lee Lian; CEO Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar dan CEO Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Pathmanathan turut sertai sidang media tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD