BUKIT MINYAK – Perkembangan pelaburan di Pulau Pinang diperhebatkan lagi dengan pembukaan sebuah kilang baru yang merupakan pembekal perkhidmatan teknologi alam sekitar dan pengilang produk bagi mengurangkan pencemaran di sini baru-baru ini.
Polydamic Sdn. Bhd. telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sambil disaksikan Pengarah Urusannya, Jacky Tan dan beberapa tetamu kehormat yang lain. Di samping itu, majlis pada hari tersebut juga turut meraikan ulangtahun penubuhan Polydamic Holdings Sdn. Bhd. yang ke-15 pada tahun ini.
Umumnya, setiap produk yang dihasilkan akan dieksport ke negara luar seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam, Sri Lanka dan Timur Tengah serta sedang menjengah pasaran di China.
Dalam ucapan Ketua Menteri, beliau yakin bahawa dengan pelaburan baru Polydamic, ia akan dapat menyokong perkembangan industri dengan memastikan udara bersih di tempat kerja dan pelepasan udara bersih ke atmosfera. Udara yang bersih di tempat kerja dapat mengurangkan penyakit yang berkaitan dengan kesihatan sekaligus dapat meningkatkan produktiviti.
“Sempena perasmian Polydamic Sdn. Bhd. ini, saya berharap Pulau Pinang dapat menjadi lebih hijau dan bersih dalam menjadikan negeri ini sebagai pilihan pelaburan antarabangsa, destinasi pelancongan pilihan dan tempat tinggal pilihan bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang mampan,” ujar Ketua Menteri.