
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Sebagai galakan untuk terus cemerlang, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan khas kepada lima pelajar serta bekas pelajar yang memperoleh pencapaian memberangsangkan dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa di sini baru-baru ini.
Antara penerima-penerima terbabit adalah dua pelajar Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Dani Ezzudin Abd. Razak, 17, dan Chairil Anuar Harris, 14, yang memenangi pingat Perak dalam Pertandingan International Sustainable World Energy Engineering Environment Project Olympiad yang diadakan di Houstan, Texas, Amerika Syarikat Mei lalu.
Menurut Dani Ezzudin, beliau amat berbangga apabila penyertaan sulungnya dalam pertandingan peringkat antarabangsa membuahkan hasil dengan kejayaan merangkul pingat Perak (tempat kedua) dari lebih 100 penyertaan seluruh dunia.
“Saya amat berbangga apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia dan Pulau Pinang melalui projek From Waste To Wonder: Biodegredable Plastic From Oil Palm Water yang menjadi sandaran dan penyertaan sulung kami.
“Adalah menjadi harapan saya agar Malaysia dapat meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (research and development) untuk kita sama-sama menikmati hasilnya pada masa akan datang.
“Pada masa sama, diharap Kerajaan Negeri dapat meneruskan usaha sebegini agar lebih memotivasikan generasi muda untuk berjaya,” ujarnya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM200 sumbangan Kerajaan Negeri daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Perancang Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng.
Turut menerima adalah guru penasihat, Harris Ganea Nainar dan juga pihak sekolah.
Dalam pada itu, pelajar yang memperoleh tajaan biasiswa penuh British Council untuk melanjutkan pelajaran pada tahap A Level di Royal Wolverhampton School, United Kingdom, Jonathan Khang Wei Tan menerima sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM1,000.
Johan ESU International Public Speaking Competition 2012 anjuran English Speaking Union , Marina Tan Hsien Wei, 18, turut menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000. Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang memenangi pertanding berprestij berkenaan.
Seorang lagi penerima adalah Chang Wen Jing yang berjaya memenangi pingat Emas dalam Pertandingan Invention Innovation and Technology Exhibition 2012 dan Pertandingan Seoul International Invention Fair 2011 (Perak).
Beliau yang diwakili ayahnya menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM500.