GEORGE TOWN – Para pelajar cemerlang sekolah rendah dan sekolah menengah bagi sesi akademik 2022 yang menetap di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dan Parlimen Batu Kawan dipelawa untuk memohon inisiatif khas pengiktirafan pencapaian akademik cemerlang.
Mewakili Ketua Menteri ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee, ketika mengumumkan perkara tersebut memaklumkan bahawa permohonan dibuka mulai 7 September 2023 sehingga 6 Oktober 2023.
“Inisiatif penganjuran Anugerah Pelajar Cemerlang bagi sesi persekolahan 2022 ini merupakan yang ketiga dan membabitkan kira-kira 150 pelajar cemerlang setakat ini.
Antara syarat permohonan yang paling penting adalah ibu bapa pelajar tersebut adalah pemastautin atau penduduk di dalam KADUN Padang Kota atau di mana-mana tiga KADUN dalam Parlimen Batu Kawan.
“Tarikh tutup permohonan adalah pada 6 Oktober ini yang mana mereka yang berjaya akan dihubungi kelak,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 6 September 2023.
Hadir sama, wakil-wakil dari Pusat Khidmat KADUN Padang Kota, Jason Ng dan Ewe Chee Way serta Rachel Teh Chuann Yien (Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan).
Mengulas lanjut, Keng Ee memberitahu bahawa inisiatif ini adalah bagi menghargai dan mengiktiraf keputusan terbaik yang diperoleh sekali gus menggalakkan para pelajar berusaha lebih gigih untuk mencapai prestasi akademik cemerlang.
“Bagi sesi persekolahan 2022, terdapat empat kategori permohonan iaitu Tahun 1 hingga Tahun 6 (Kategori 1); Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 (Kategori 2); Tingkatan 5 (Kategori 3) dan Tingkatan 6 (Kategori 4).
“(Dan) kelayakan permohonan (dari segi akademik) adalah berbeza-beza berdasarkan kategori serta beberapa syarat ditetapkan termasuk insentif yang bakal diterima nanti,” jelasnya.
Berikut adalah syarat kelayakan akademik bagi :
> Kategori I – Tahap Penguasaan (TP) Pelaporan Bilik Darjah (PBD) pada Tahap 5 (TP5) dan ke atas;
> Kategori II – Purata gred peperiksaan adalah melebihi 80 markah;
> Kategori III – Sekurang-kurangnya 8A dan ke atas bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan
> Kategori IV – Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.7 ke atas bagi keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Pelajar-pelajar yang berjaya bakal menerima pingat kecemerlangan, sijil pengiktirafan dan wang tunai antara RM100 hingga RM500 mengikut kategori.
Maklumat lanjut, sila layari laman Facebook Pusat Khidmat KADUN Padang Kota (https://www.facebook.com/p/Pusat-Khidmat-KADUN-Padang-Kota-100064783325897/) dan Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan ( https://www.facebook.com/P046mpbatukawan/) atau hubungi talian yang tertera di laman berkaitan.
Gambar : LAW SUUN TING