Pelajar cemerlang tonggak kemajuan negara

Admin

 

TELUK BAHANG – Negara sedang mengorak langkah mencapai kemajuan dari segi ekonomi, meningkatkan taraf hidup dan perpaduan berbilang kaum selaras dengan negara-negara maju yang lain.

Bagi mencapai matlamat tersebut, pelapis-pelapis muda kini harus mengambil sikap positif dengan mengutamakan pelajaran dan disiplin diri kerana itulah penyumbang utama kepada nasib masa depan negara kelak.

Sebagai langkah permulaan untuk melestarikan impian ini, seramai 45 orang pelajar telah diraikan ekoran kejayaan mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang baru-baru ini.

Majlis anjuran DUN Teluk Bahang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan dan Komuniti (JKKK) DUN Teluk Bahang tersebut berjaya mengumpulkan hampir kesemua pelajar cemerlang beserta ibu bapa bagi meraikan kejayaan anak-anak pelapis muda negara.

Menurut Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, setiap kejayaan yang ingin dicapai harus mempunyai disiplin tinggi dan membuang tabiat saat-saat akhir serta bijak menyusun atur masa samada untuk riadah mahupun waktu belajar.

“Pembelajaran melalui teknologi terkini atau portal pendidikan merupakan salah satu cara untuk memperoleh ilmu di zaman moden sekarang. Pelajar juga perlu mengamalkan sistem pembacaan yang sistematik seperti membaca buku didikan kekeluargaan yang berkualiti. Ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar mendisiplinkan diri dan menanam sifat-sifat positif dalam diri mereka,” katanya ketika memberi ucapan di majlis anugerah tersebut.

Setiap pelajar cemerlang diberi sijil penghargaan dan hamper berupa alat tulis yang disampaikan oleh Abdul Halim diiringi Pegawai Penyelaras DUN Telok Bahang, Mohamed Shawal Ahmed.