Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencipta sejarah tersendiri apabila tiga pelajar Sekolah Perempuan St. George’s menempah nama dalam kejohanan debat antarabangsa International Debate Education Association (IDEA) Asia Youth Forum (AYF) 2012 baru-baru ini.
Dalam pertandingan debat terbuka bertemakan “Merentasi Sempadan: Penghijrahan Dalam Asia” di Bangkok tersebut, Yuhaniz Abdul Malik, 16, diiktiraf sebagai ahli debat keenam terbaik daripada 78 peserta yang merebut Kejuaraan Debat Karl Popper.
Manakala, Haamsaaveni Dilip Kumar, 16, pula diiktiraf sebagai ahli debat kelapan terbaik daripada 66 ahli debat yang menyertai Kejohanan Debat Campur Berkumpulan Jacques’ Angels melibatkan negara Filipina, Kemboja dan Myanmar.
P.S. Karen Kaur, 16, turut menerima pengiktirafan dalam saingan yang sama.
Selain menerima sijil penyertaan, Haamsaaveni dan Yuhaniz masing-masing menerima tunai berjumlah RM200, manakala, Karen menerima tunai RM100.
Mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu sidang akhbar di Komtar, di sini, melahirkan penghargaan atas kejayaan ketia-tiga ‘pelajar emas’ berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim. IDEA AYF 2012 dianjurkan IDEA dan UNITED Thailand dengan tajaan Open Society Foundations; Office of Education Council, Thai Ministry of Education; Tourism Authority of Thailand dan PTT Global Chemical Public Company Limited.