Pelajar lepasan SPM dan STPM kurang mampu berpeluang lanjut pelajaran secara percuma

Ketua Menteri dan Chong Eng menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Akademi J&W yang diadakan dekat Komtar di sini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan Akademi J&W Sdn. Bhd. dalam usaha meningkatkan peluang pendidikan untuk pelajar kurang berkemampuan di negeri ini.

MoU tersebut ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pengarah Eksekutif Akademi J&W Sdn. Bhd., Dr. Tan Guan Heng sambil disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Urusan Akademi J&W Sdn. Bhd., Yeoh Hong Heng.

Chow Kon Yeow ketika bercakap pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU.

Pada sidang media selepas itu, Kon Yeow berkata bahawa melalui kerjasama tersebut, seramai 1,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang bekerja sambil melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Pelajar di negeri Pulau Pinang yang berumur 30 tahun dan ke bawah bakal memperoleh manfaat daripada jalinan kerjasama baharu di bawah Program Penajaan Pendidikan (PPP) ini.

“Program ini dirangka sebaiknya untuk membantu anak-anak Pulau Pinang yang tidak berkemampuan untuk bekerja sambil melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Oleh itu, kita berharap agar anak-anak Pulau Pinang dapat merebut peluang untuk menikmati pendidikan secara percuma ini di universiti terpilih iaitu Wawasan Open University (WOU), Open University Malaysia (OUM) dan Lincoln University College (LUC).

“Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar turut disediakan laluan kerjaya lebih berkualiti yang mana mereka mempunyai hak sebagai seorang pekerja dengan gaji asas bulanan bermula RM1,200 mengikut syarat Akta Pekerja,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap agar lebih banyak kolaborasi seumpamanya dijalinkan pada masa akan datang demi melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti serta berdaya saing sekali gus dapat memacu kemajuan negeri Pulau Pinang.

Dr. Tan Guan Heng.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita amat menyambut baik akan penglibatan serta inisiatif ini terutama dalam membantu institusi kekeluargaan yang terkesan sepanjang pandemik COVID-19,” ujarnya.

Sementara itu, Guan Heng berkata bahawa program tersebut dilaksanakan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar di negeri Pulau Pinang yang kurang berkemampuan khususnya dalam aspek kewangan untuk menyambung pelajaran sambil bekerja.

“Syarat untuk mengikuti program ini adalah mereka perlu mendapat tiga kredit dalam keputusan SPM, dan paling penting adalah wajib lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah.

“Anak-anak Pulau Pinang yang memenuhi syarat ini layak untuk mendapat peluang menyambung pengajian di universiti-universiti dinyatakan dan dapat bekerja dengan gaji asas berserta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso),” ulasnya.

Difahamkan, kira-kira 120 syarikat korporat termasuk francais di seluruh negeri Pulau Pinang bertindak sebagai penaja bagi program berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : CHAN KOK KUAN