Pelajar sekolah, komuniti setempat bersihkan Robina Eco Park, kumpul 630kg sampah

whatsapp image 2024 10 06 at 16.10.21

TELOK AYER TAWAR – Seramai 140 pelajar daripada lima buah sekolah rendah dan menengah bersama-sama komuniti setempat menyertai program plogging yang berlangsung dekat Robina Eco Park di sini semalam.

Pada program tersebut, sebanyak 630 kilogram (kg) sampah-sarap berjaya dikumpul termasuk sisa makanan, polistirena, kertas, plastik, kain, logam dan kaca.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 548kg daripada jumlah sampah yang berjaya dikumpul adalah sisa yang boleh dikitar semula.

whatsapp image 2024 10 06 at 16.10.20whatsapp image 2024 10 06 at 10.22.28Aktiviti plogging merupakan sebahagian daripada Program Keceriaan Alam Sekitar @ Robina Park, anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang bertujuan memupuk kesedaran tentang penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Selain aktiviti membersihkan kawasan pantai, beberapa lagi aktiviti turut dianjurkan seperti bengkel kitar semula, gerai menjual produk kitar semula serta pameran berkaitan alam sekitar oleh agensi-agensi negeri dan Persekutuan.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata matlamat utama penganjuran program tersebut adalah untuk menyemai budaya amalam kitar semula dan tanggungjawab menjaga alam sekitar dalam kalangan generasi muda dan masyarakat setempat.

“Objektif MBSP adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan amalan kitar semula serta keperluan untuk mengamalkan pengasingan sisa di punca.

“Adalah penting untuk kita mendidik generasi muda dan masyarakat tentang bagaimana mereka boleh memberikan sumbangan untuk melindungi alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program tersebut.

Baderul berkata, penganjuran program tersebut adalah menggunakan geran yang disalurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM30,000.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak KPKT di atas penyaluran peruntukan ini.

“Semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR