EMPAT pelajar Tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling turut menempa kejayaan dalam Malaysia Techlympics 2022 yang dianjurkan Kementerian Tenaga. Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Stadium Axiata Arena dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 dan 27 November lepas.
Ketua Pasukan, KOK QI SHENG bersama-sama TOMAZ FU SHAO YANG; CHAN YU HENG dan CHEE KAK KIN dipilih sebagai johan bagi Kategori 1.3 Cabaran Sains Data Remaja.
Bercakap dalam temu ramah eksklusif bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR (jurugambar), Qi Sheng mengakui bahawa mereka langsung tidak jangka akan dipilih sebagai juara kategori tersebut memandangkan saingan melibatkan 10 kumpulan lain peringkat kebangsaan begitu sengit.
“Penganjur memberi suatu soalan (permasalahan) yang terdiri daripada dua set data, satu soalan tentang iklim dan satu soalan lagi tentang kerjaya.
“(Dan) dengan dua set data ini, kami diminta beri penyelesaian, memproses dan menyusun data, kemudian akhirnya kami membuat suatu ‘dashboard’ untuk menunjukkan jalan penyelesaiannya.
“Jadi, kumpulan kami mengubah soalan (permasalahan) kepada data…cabaran kami lebih kepada mengemukakan kaedah penyelesaian masalah (berdasarkan) pemikiran logik, dalam kekangan masa saingan yang diberikan.
“Saingan begitu sengit yang mana 11 pasukan terbaik dari seluruh negara merebut kejuaraan bagi kategori (1.3 Cabaran Sains Data Remaja) ini.
“Terkejut juga apabila diumumkan sebagai johan,” jelasnya sambil menganggap kejayaan tersebut adalah atas semangat berpasukan di samping dorongan sekalian cikgu yang terlibat.
Buletin Mutiara difahamkan Qi Sheng dan kawan-kawannya merupakan pelajar sains komputer.
Selain sesi pembelajaran secara fizikal di sekolah, minat yang mendalam dalam menganalisis data penyelesaian juga turut disuburkan di luar kelas terutama melalui Kelab STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) peringkat sekolah.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada sekalian guru yang terlibat kerana memberi ‘peluang’ penyertaan pertandingan dari peringkat sekolah, zon hingga berjaya memburu kejuaraan peringkat kebangsaan.
Mereka, katanya, termasuklah Guru Penasihat Kelab STEM merangkap guru pengiring, Hanisah Binti Mohd. Shariff; Guru Kanan Sains dan Matematik, See Kean Hock, Penolong Kanan I, Saw Sok Yen dan Penolong Kanan Kokurikulum, Yew Sey Yan.
Bercita-cita melanjutkan pengajian peringkat universiti, Qi Sheng berkata beliau berharap dapat peluang belajar dalam jurusan kejuruteraan elektronik.
“Sebenarnya dengan menggunakan teknologi termasuk capaian data ini, kita boleh ringkaskan pemprosesan data, iaitu pemprosesan (bagi menyelesaikan satu-satu persoalan atau permasalahan) akan bertambah mudah dan pantas,” katanya dalam nada sederhana.
Sementara itu, Tay Zheheng (ketua), Sim Zhong Yee iaitu pelajar Tingkatan 4 SMJK Chung Ling pula mendapat hadiah saguhati bagi Cabaran Penulisan Kod Terpantas dalam Malaysia Techlympics 2022.
Regu berkenaan terlewat enam minit sahaja di belakang pemenang pingat gangsa bagi kategori berkenaan.
“Pengekodan adalah untuk memberi arahan kepada robot (yang mana) pihak penganjur menetapkan enam koordinat dan kami perlu menyiapkan pengekodan secepat mungkin dan betul untuk robot mengikut arahan pengekodan tersebut.
“Cabaran dalam kategori pertandingan ini adalah merebut pemarkahan daripada segi masa terpantas dan betul (pengekodan) mengikut satu-satu arahan yang ditetapakan oleh pihak penganjur.
“Untuk (kategori) Cabaran Penulisan Kod Terpantas ini, kami diberikan masa selama 2 jam dan berjaya menyiapkan kerja yang diberikan dalam tempoh masa 33 minit (iaitu) hampir dapat tempat ketiga (yang berjaya siapkan pengekodan 27),” ujarnya.
Mengaku sedikit kecewa dengan pencapaian tersebut, Zheheng bagaimanapun bersyukur kerana berpeluang menimba pengalaman dalam saingan peringkat kebangsaan.
“Kami berjaya meraih pingat (gangsa untuk) tempat ketiga dalam Malaysia Techlympics 2022 Peringkat Zon Utara, di Pusat Sains Negara, Kedah pada 13 September 2022.
“Tetapi, kami berasa sedikit ‘perasaan’ apabila tidak berada sekurangnya pada kedudukan tiga terbaik bagi kategori itu pada peringkat kebangsaan,” katanya.
Bercerita lanjut, beliau berkata mendapat hadiah saguhati sebenarnya membakar lagi semangatnya untuk meningkatkan kemahiran dalam pengekodan – sama ada melalui aktiviti anjuran Kelab STEM atau pembelajaran tidak formal di luar kelas.
“Kira-kira dua tahun lepas ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), tiada sesi persekolahan secara bersemuka membuatkan saya begitu bosan, maka, saya belajar kemahiran pengekodan melalui YouTube dan aplikasi android.
“Di sekolah juga ada pembelajaran subjek pengekodan tetapi mengikut silibus, secara asas, minat yang mendalam mendorong saya belajar secara dalam talian sahaja dan robot saya pinjam dari kawan sahaja,” jelasnya sambil menyifatkan pengekodan membuatkan pembelajaran STEM bertambah menarik dan mencabar buat diri.
Sey Yan yang ditemui selepas itu, merakamkan penghargaan kepada pihak Buletin Mutiara kerana memberi liputan khusus pada kejayaan pelajar-pelajar SMJK Chung Ling Butterworth dalam Malaysia Techlympics 2022.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru yang terlibat di sebali kejayaan para pelajar berkenaan.
“Mewakili pihak SMJK Chung Ling Butterworth, sekalian guru sudah tentu sangat gembira dengan pencapaian para pelajar dalam mengharumkan nama sekolah secara khususnya dan negeri Pulau Pinang secara umumnya.
“(Dan) dengan usaha para peserta akhir Malaysia Techlympics 2022 berkenaan, tidak lengkap juga kita tanpa bimbingan semua guru yang terlibat terutama Cikgu Hanisah, See Kean Hock dan cikgu-cikgu STEM yang lain.
“Dengan pencapaian ini, seperti Zheheng dan Zhong Yee jika ada peluang lagi ke saingan akhir Techlympics akan datang, diharap dapat memperbaiki kedudukan.
“Tahniah kepada semua peserta saingan akhir Malaysia Techlympics 2022 pada kali ini,” zahirnya.