Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
MACHANG BUBUK – Sebanyak 66 pasang cermin mata diedarkan secara percuma kepada para pelajar sekolah rendah dalam Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubuk susulan program pemeriksaan kesihatan mata pada 2 Mac lepas di sini baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam tersebut adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran penjagaan mata kepada penduduk setempat khusunya di kawasan-kawasan pedalaman.
Ahli Parlimennya, Steven Sim Chee Keong berkata, kawasan tersebut dipilih ekoran kesedaran penjagaan mata dalam kalangan penduduk yang didapati masih rendah.
“Walaupun ada penduduk yang mampu membuat cermin mata sendiri untuk anak- anak, tetapi kesedaran mengenai penjagaan mata masih lagi kurang,” katanya pada Majlis Sumbangan Cermin Mata Percuma Kepada Pelajar-pelajar Sekolah Rendah di
sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut hadir pada program tersebut. Tambah Chee Keong, penjagaan kesihatan mata adalah amat penting terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang bersekolah.
“Terdapat juga murid-murid yang tidak mengetahui bahawa mereka mengalami masalah kesihatan mata yang secara tidak langsung menjejaskan pembelajaran masing-masing.
“Justeru, melalui pelaksanaan program ini, diharap dapat memberikan kesedaran kepada ibu bapa dan guru akan kepentingan menjaga kesihatan mata di peringkat awal,’’ tegas beliau.
Chee Keong memberitahu, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di setiap tiga KADUN di bawah Parlimennya tahun ini.
“Program di Machang Bubuk ini merupakan anjuran pertama sebelum dijalankan di Berapit dan Padang Lalang kelak.
“Kita akan memberikan lebih tumpuan kepada program kesejahteraan rakyat seumpama ini dan mengurangkan aktiviti- aktiviti bersuka ria,” akhiri beliau.